SURAT | Macron sangat tak bertanggungjawab
Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) yang mewakili lebih daripada 2,000 usahawan Muslim di Malaysia menyampaikan ucapan takziah dan menyatakan rasa terkejut terhadap kes pembunuhan Samuel Paty.
Namun, kami menentang keras pelecehan yang telah dibuat oleh mendiang Paty ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang kita cintai.
Sesungguhnya kami percaya sebarang perlecehan kepada apa-apa perkara yang melibatkan isu keagamaan adalah sesuatu yang hanya akan menimbulkan lebih banyak kebencian, perbezaan dan membawa kepada ketidakharmonian antara kepercayaan yang berbeza.
Pada masa sama, DPIM mengecam ucapan yang dibuat oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berkaitan perkara ini yang pada hemat kami merupakan kenyataan sangat tidak bertanggungjawab.
Ia juga hanya mewujudkan ketegangan dalam kalangan masyarakat dunia malah dilihat mempromosikan ketakutan kepada Islam.
Sesungguhnya ini adalah tindakan yang tidak dapat diterima dan tidak sepatutnya datang daripada seseorang yang bergelar presiden.
Islam adalah agama kedamaian dan agama yang mendorong keharmonian. Dalam hal ini, kami menyeru supaya semua umat Islam di seluruh dunia bersatu padu dengan mengutuk kenyataan Macron dan mendesak agar dia membuat permohonan maaf secara terbuka atas kenyataan yang bersifat retorik serta tidak bertanggungjawab.
Sebagai organisasi yang terlibat di peringkat antarabangsa, kami berdiri bersama seluruh komuniti Islam tidak teragak-agak akan memboikot produk keluaran Perancis dalam kalangan ahli kami di Malaysia sekiranya permintaan maaf tidak dibuat dari Macron.
KHAIRUL SHAHRIL HAMZAH ialah setiausaha agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

