Malaysiakini
SURAT

SURAT | Belanjawan 2021 untuk kelangsungan ekonomi, sejahtera sosial

Ar Ezumi Harzani Ismail

Diterbitkan

Belanjawan 2021 adalah belanjawan rakyat yang disusun untuk kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan sosial bagi membantu negara kembali kepada pertumbuhan ekonomi yang positif.

Dalam keadaan wabak Covid-19, adalah penting untuk kita sama-sama menangani masalah sosial dan kehidupan masyarakat termasuk menyediakan peruntukan untuk makanan dan bekalan, sistem penjagaan kesihatan awam dan peluang pendidikan.

Persatuan Arkitek Malaysia (PAM) mengalu-alukan peruntukan kerajaan untuk pemulihan dan perlindungan alam sekitar dengan lebih RM500 juta diperuntukkan bagi pembersihan sungai, pengurusan sampah, perlindungan biodiversiti dan pemantauan alam sekitar.

Kami juga berharap penguatkuasaan undang-undang melindungi alam sekitar dapat ditingkatkan untuk melindungi sumber alam termasuk sumber air bersih.

Peruntukan tambahan RM2 bilion untuk Skim Pembiayaan Teknologi Hijau juga diharap dapat membantu menyumbang kepada agenda pemulihan alam sekitar.

Peruntukan RM100 juta bagi mewujudkan peluang pekerjaan baru dan pemberian geran GLC diharapkan bukan hanya untuk mewujudkan peluang pekerjaan baru bagi rakyat, tetapi juga digunakan untuk meningkatkan kemahiran dan pengisian semula belia serta pekerja tempatan membuka peluang pekerjaan yang lebih baik dan menjadi lebih produktif.

Insentif khas 60 peratus daripada gaji bulanan yang disediakan untuk pengambilan pekerja tempatan bagi menggantikan pekerja asing juga akan membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia.

Walaupun kita berada dalam situasi ekonomi yang mendesak, langkah kerajaan melaksanakan program koridor ekonomi termasuk projek infrastruktur pengangkutan, perkhidmatan lebuh raya dan rel sangat dialu-alukan.

PAM berharap agar kerajaan berurusan dengan telus dalam proses perolehan projek, dan memberikan keutamaan kepada para profesional dan kontraktor Malaysia untuk dilantik dalam projek-projek tersebut.

Skim transformasi digital yang dicadangkan juga akan membantu memajukan lagi perniagaan.

Transformasi digital melalui building information modeling (BIM) akan membawa industri pembinaan maju jauh ke depan. Bagaimanapun, usaha itu setakat ini tidak mencapai peningkatan yang ketara.

PAM berharap peruntukan tersebut akan digunakan bukan hanya untuk pembelian komputer dan sistem, tetapi juga untuk membangunkan strategi perlaksanaan BIM secara tersusun yang lebih fokus bagi melahirkan peneraju transformasi digital.

Peruntukan insentif-insentif pemilikan rumah mampu milik juga diharapkan dapat meningkatkan permintaan rumah. Ini akan merangsang industri pembinaan dan memacu aktiviti lain yang berkaitan dalam rantaian bekalan.

Peruntukan pembangunan luar bandar juga akan membantu meningkatkan industri pembinaan dengan peruntukan sebanyak RM2.7 bilion untuk pembangunan infrastruktur dan pembaikan rumah di kawasan luar bandar.


Ar Ezumi Harzani Ismail ialah presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan