Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebahagian daripada inti pati Deklarasi Permatang Pauh yang diungkapkan pada 12 Sept 1998 turut memetik ayat al-Quran yang bermaksud: “Tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah (reformasi) sekuat daya kami."

Perjuangan bukan sahaja melibatkan air mata darah tertumpah. Ia juga tidak hanya terhad kepada berbicara soal pancaran hati nurani dan kesedaran manusia yang dizalimi.

Perjuangan ialah soal bagaimana keadilan dan kebenaran itu mahu ditegakkan.

Jurang antara golongan miskin dan kaya terus dibiarkan melebar - adakah itu merdeka?

Rasuah, kepincangan dan kebobrokan dalam aspek tatakelola dan pengurusan terus berlaku - adakah itu merdeka?

Rakyat masih menghina atau menghukum sesama sendiri atas dasar perbezaan warna kulit - adakah itu merdeka?

Ia bukan hanya semata-mata sekadar slogan dan laungan, namun kemerdekaan adalah janji atau tekad yang berbicara soal kebebasan dan keadilan kepada semua kaum tanpa melihat warna kulit dan menolak sebarang unsur diskriminasi.

Anwar Ibrahim memimpin gerakan reformasi dari 1998 dengan pendirian serta hala tuju yang jelas.

Strategi yang merupakan elemen penting dalam sesebuah peperangan telah disusun dengan rapi berdasarkan perubahan peredaran zaman serta perkembangan semasa sehingga tertumbangnya parti yang memerintah negara sejak lebih 60 tahun.

Ia berlaku meskipun Anwar terperangkap di sebalik jerisi besi yang dilitupi dinding batu bata.

Gelombang Kebangkitan Asia menetapkan dasar alternatif yang merakyatkan serta gerak kerja yang utuh untuk menentang segala jenis rasuah, penyelewengan, pembodohan umat dan penindasan ke atas rakyat dalam apa keadaan mahupun apa jua posisi yang diamanahkan.

Sudah tiba masanya untuk negara ini memilih batang tubuh yang mempunyai kerangka pemikiran jelas dan berkredibiliti serta berkeyakinan yang jitu dengan tekad politik yang benar-benar menjiwai kesusahan rakyat untuk melaksanakan perubahan dengan sedaya upaya demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat secara keseluruhannya.

Wawasan negara ini perlu dicorakkan dengan melaksanakan reformasi yang didambakan rakyat terbanyak.

Anwar mampu mengemudi satu pasukan kebangkitan atau nahdah peradaban yang bermula dari Malaysia dan terus disebarkan ke seluruh pelusuk dunia.

Malaysia merupakan sebuah negara berbilang bangsa, bahasa dan agama. Kita perlu melihat perbezaan warna kulit, bangsa dan budaya itu sebagai satu kelebihan sekali gus berkongsi kepelbagaian tersebut supaya semangat setiakawan dan kerharmonian dapat dipupuk dari masa ke semasa.


RAMANAN RAMAKRISHNAN ialah Timbalan Pengarah Strategi PKR.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysia.

Lihat Komen
ADS