Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
SURAT | Yang tersirat - PN masih dapat mandat ahli parlimen

Tujuan sebenar Belanjawan 2021 dirangka untuk kelangsungan hidup rakyat pada waktu luar biasa, berdepan cabaran wabak Covid-19.

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) bersetuju dengan pelbagai bantuan yang diberikan oleh kerajaan Perikatan Nasional untuk menambah bantuan aliran tunai kepada rakyat, bantuan kewangan langsung, dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Berita baik untuk rakyat apabila rakyat dapat mengeluarkan wang simpanan mereka dalam tabung 1 KWSP pada waktu yang getir ini, seperti dituntut pelbagai pihak, termasuklah DPIM.

Menteri kewangan juga telah menambah baik penerima faedah apabila melonggarkan syarat dengan memperluaskan kemudahan pengeluaran kepada mereka yang mengalami penurunan pendapatan pada tahun ini.

Pencarum yang tidak aktif atau yang bekerja di sektor tidak rasmi yang terkesan turut boleh membuat pengeluaran.

Belanjawan prihatin rakyat ini lulus dengan lebihan suara pada bacaan kedua di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Tahniah diucapkan kepada semua ahli parlimen kerajaan yang menyokong belanjawan ini.

Namun begitu, terdapat percubaan pembangkang untuk meminta undi belah bagi, malangnya ia ditewaskan oleh pembangkang sendiri apabila mereka yang berdiri hanya 13 orang, tidak mencukupi 15 orang seperti disyaratkan.

Tersuratnya, jelas menunjukkan pembangkang, terutama ahli parlimen Amanah, hanya bermain retorik politik di Dewan Rakyat.

Jelas perpaduan antara pembangkang amat rapuh apabila sekadar mendapat 13 sokongan pihak pembangkang.

Secara tersiratnya pula, pemimpin PKR yang disebut-sebut mahu menjadi perdana menteri, ternyata gagal mendapat sokongan ahli parlimen mereka sendiri apabila gagal mendapatkan 15 undi.

Secara tersiratnya juga, DAP hanyalah berdebat kosong dan berkecuali apabila berlakunya pengundian.

Secara tersiratnya juga, ahli parlimen BN dan Perikatan Nasional jelas membela rakyat apabila melakukan perubahan kepada Belanjawan 2021 agar lebih memberikan manfaat kepada rakyat.

Paling penting, secara tersiratnya, kerajaan Perikatan Nasional masih mendapat mandat ahli-ahli Parlimen untuk mentadbir negara.


SHAHIR ADNAN ialah ketua DPIM Parti Ikatan Bangsa Malaysia merangkap timbalan pengerusi ikatan Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS