Semua kaum diperlu untuk majukan Malaysia
Saya membaca laporan bertajuk 'Bangsa Melayu perlu fikir strategi terbaik' dalam Utusan Malaysia baru-baru ini dengan penuh minat untuk memahami apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh timbalan perdana nenteri kita.
Saya hairan dengan pendapat beliau yang mahu bangsa Melayu memikirkan strategi terbaik untuk meletakkan negara ini di tengah-tengah kebangkitan negara China dan India sebagai kuasa ekonomi dunia yang baru.
Adakah beliau berpendapat bahawa dengan majunya bangsa Melayu sahaja (60 peratus daripada penduduk Malaysia) negara Malaysia ini akan maju?
Atau adakah beliau mahukan hanya bangsa Melayu sahaja yang maju? Saya dibesarkan oleh ibubapa saya dengan kepercayaan bahawa Malaysia adalah negara majmuk dan ketua-ketua negara ini, Perdana Menteri (PM) dan Timbalan PM adalah pemimpin untuk seluruh rakyat Malaysia.
Jika TPM benar-benar ingin melihat kejayaan Malaysia, maka kejayaan seluruh rakyat Malaysia adalah perlu - bukan sekadar satu keturunan sahaja. Saya harap semua pemimpin negara ini terutamanya PM dan TPM akan berusaha memajukan bangsa Malaysia untuk semua kaum.

