Saya merujuk kepada surat Kelampauan dalam budaya.

Adakah Saudara SM Mohd Idris telah membongkar satu strategi pihak tertentu untuk mengaburi mata rakyat Malaysia tentang isu-isu negara yang lebih penting yang pada pandangan saya menggoncang kewibawaan kerajaan Malaysia.

Isu kenaikan harga minyak dan harga ubat, isu projek-projek kerajaan yang tergendala, isu salahguna kuasa dalam penawaran kontrak kerajaan, budaya kronisme dan nepotisme yang bermaharajalela, isu pencabulan hak manusia dan haiwan, isu gejala sosial, isu politik dan pelbagai isu lain yang layak diberi perhatian wajar?

Adakah ini menunjukkan kepada dunia luar bahawa rakyat Malaysia ini terlalu cetek rasa keprihatinanya dan daya intelektualnya? Angelina Jolie dan Brad Pitt mendermakan hasil penjualan hakmilik untuk menerbitkan gambar anak perempuan mereka kepada media untuk membantu kanak-kanak yang menderita di Afrika setelah mengambil keputusan untuk melahirkan anak kesayangan mereka di Afrika tatkala mereka sangat mampu membayar apa jua kos perubatan di negara-negara maju. Artis-artis kita menggunakan hasil penjualan penyiaran untuk membayar kos-kos majlis tertentu.

Saya bukan cemburu. Saya hanya terkilan. Mampukah kita menjadi masyarakat Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang? Bolehkan kita mencapai Wawasan 2020? Hanya satu kemungkinan yang tidak mustahil berlaku sekiranya semua pihak mendukung tanggungjawab sosial. Dunia bukan sekadar wang, glamor dan pangkat. Dunia pasti satu tempat yang harmoni dan adil untuk semua apabila ada rasa kasih sayang dan semuanya diletakkan pada tempat/tahap yang wajar.