Kepada semua rakyat Malaysia, kalau anda menerima sebarang e-mel yang membakar semangat perkauman, harap hentikanlah. E-mel tersebut palsu dan propaganda semata-mata untuk mencetuskan konflik antara kaum Melayu dan Cina.

Kalau berita e-mel tersebut tidak tersiar dalam lamanweb yang boleh dipercayai seperti lamanweb Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Jemaah Islam Malaysia (JIM), Persatuan Pengguna Islam, Persatuan Peguam Pembela Islam, maka jangan mempercayainya.

Orang Melayu hendak berniaga, orang Cina pun hendak berniaga. Adalah orang berniaga suka mahu melihat berlaku ketegangan dalam negara?

Haji Mustafa Ma, seorang yang berketurunan Cina menjadi pengerusi ACCIN sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan penerima anugerah khas Maal Hijrah tahun ini. Dan ramai lagi orang Cina lain yang beragama Islam.

Puteri Hang Li Po dan Laksamana Cheng Ho yang datang ke Melaka juga orang Cina yang banyak membantu kesultanan Islam Melaka dari serangan musuh ketika itu. Kajian sejarah oleh profesor Melayu tempatan baru-baru ini juga menyatakan orang Melayu juga asal usulnya dari negara China.

Mereka yang menyebar e-mel perkauman ini adalah segelintir kecil yang ada kepentingan tertentu. E-mel seumpama itu boleh mendatangkan kesan buruk kepada semua rakyat Malaysia. Jadi, hentikan penyebaran e-mel ini, baik dalam Bahasa Melayu, Cina atau Inggeris di kalangan orang Melayu dan orang Cina.

Yang penting sekarang ialah umat Islam berbalik kepada asas. Pastikan diri sendiri dan keluarga menyempurnakan solat lima waktu. Pastikan surau dan masjid hidup dengan kuliah-kuliah ilmu.