Paling Popular
Terkini

SURAT | Pemuda Amanah menyeru Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang dikepalai Anwar Ibrahim agar bertindak segera mengikut perkembangan semasa untuk menarik semula keyakinan rakyat.

Mesej dan isyarat jelas daripada pemimpin utama Umno sepanjang perhimpunan agung mereka semalam perlu menjadi panduan.

Mereka menyatakan dengan tegas bahawa tidak mahu menerima Bersatu, Anwar dan DAP wajar dijadikan sempadan untuk PH membina semula kekuatan dan bersiap siaga menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang akan datang.

Pemuda Amanah berpandangan sekiranya tumpuan untuk membuat tawaran baru kepada rakyat tidak diberikan dalam menangani masalah semasa khususnya hal ekonomi dan pengangguran yang semakin meningkat, PH menghadapi risiko penyusutan sokongan rakyat.

Penyesuaian semula untuk membentuk jawatankuasa yang bertindak meneliti dan menyusun cadangan bernas seperti Buku Jingga yang dibuat sebelum ini harus menjadi keutamaan bagi memandu hala tuju dan menarik perhatian rakyat dalam meraih sokongan.

Namun sekiranya masa yang ada lebih ditumpukan kepada melayan kerenah politik yang tidak menemui solusi yang meyakinkan rakyat, Pemuda Amanah bimbang rakyat akan sekali lagi kecewa dengan peristiwa pengkhianatan Langkah Sheraton sehingga tumbangnya kerajaan PH.

Perlu kita akui bahawa kelemahan-kelemahan yang berlaku dalam PH sebelum ini adalah kelemahan kita bersama dan perlu segera diperbaiki.

Pemuda Amanah yakin, dengan perkembangan semasa politik hari ini, tidak ada mana-mana pihak atau parti yang mempunyai kedudukan selesa untuk menyatakan kemenangan akan berpihak kepada mereka, tetapi kestabilan, kesatuan, kesungguhan dan keikhlasan berkhidmat kepada rakyat bakal menentukan siapa yang bakal menerajui Putrajaya.


MUHAMMAD TAQIUDDIN CHEMAN ialah timbalan ketua Pemuda Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS