Pembela mahasiswa atau aspirasi... Itulah teka-teki yang sedang berlegar di minda mahasiswa. Mereka harus mencari jawapan yang tepat sebelum mengundi Khamis ini. Dalam keinginan untuk mencari pemimpin yang betul-betul boleh menjaga kebajikan mereka, mahasiswa sekali lagi disajikan dengan perangai pentadbiran universiti yang tidak bermaruah yang mengkambing-hitamkan sistem demokrasi.

Univesiti Teknologi Mara (UiTM) merupakan salah sebuah kampus yang paling banyak peratusan ketidaktelusan dalam pemilihan pemimpin pelajar. Tabiat mengkambing-hitamkan demokrasi bukan satu tabiat baru bagi UiTM tetapi seakan-akan sudah menjadi tradisi. Masalah ketidaktelusan ini bukan dihadapi oleh golongan pembela mahasiswa sahaja, tetapi golongan aspirasi juga terkena gelombangnya.

Di UiTM, pembela mahasiswa tidak diberikan peluang sama sekali untuk bertanding walaupun atas tiket calon individu, tapisan dibuat dengan penuh teliti untuk memastikan tiada seorang pun calon yang terlepas ke tengah gelaggang.

Dalam beberapa kes, dekan-dekan fakulti tidak menggalakkan calon bertanding. Dalam kes ini, dekan memainkan peranan untuk memastikan setiap fakulti hanya mempunyai dua calon sahaja. Ini bukan sahaja telah melanggar sistem demokrasi tetapi turut merampas hak mahasiswa untuk bertanding.

Permasalahan ini bukan sahaja dihadapi oleh pembela mahasiswa bahkan aspirasi pun tidak berkecuali. Antara kesannya, tindakan ini menyebabkan golongan mahasiswa tidak berminat untuk mencalonkan diri disebabkan mereka tidak boleh membawa agenda sendiri.

Oleh sebab itu, tidak hairan jika fakulti yang bertanding nampak gah kerana semuanya telah dicaturkan, bahkan poster dan banner untuk calon pun disiapkan oleh HEP (Hal Ehwal Pelajar). Inilah peranan utama HEP untuk memastikan calon yang menang menjadi jurucakapnya dan bukannya pembela pelajar.

Dalam kes lain, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM pula tidak berpijak di bumi yang nyata apabila menuduh pembangkang memburuk-burukkan meraka. Namun, kebenaran pasti tertegak dan memihak kepada pihak yang benar.

Pihak pembangkang tidak perlu memainkan isu, tetapi pelajar sendiri yang nampak betapa gagalnya MPP dalam membela nasib mahasiswa. MPP bukan sahaja gagal membela nasib mahasiswa, bahkan telah menyebabkan kerosakan yang besar dalam jiwa mahasiswa dengan penyajian program hiburan yang melampau dan merosakkan.

Kepada mahasiswa yang bakal menunaikan tanggungjawab sebagai penggundi, pekalah dengan keadaan sekeliling agar pilihan kita tepat dan dapat membantu kita untuk memperjuangkan hak dan mengembalikkan demokrasi kampus yang telah lama terkubur di UiTM.