Tun Dr Mahathir Mohamad bukan hak eksklusif Umno, malah beliau adalah hak semua rakyat negara ini dan manusia sejagat yang telah menerima faedah secara langsung dan tidak dari kepimpinannya yang lepas.

Apa yang dikehendaki oleh bekas Perdana Menteri itu sekarang hanya peluang dan ruang untuk memberi pandangan dan teguran kepada mereka yang pernah dipimpinnya dahulu kerana mungkin ada yang perlu diperbetulkan.

Adalah sukar untuk diterima dalam fikiran kita bahawa beliau mahu mengancam keselamatan negara, mencetuskan huru-hara atau merosakkan perpaduan Umno serta menghancurkan keyakinan para pelabur.

Adalah mustahil orang yang menghabiskan usianya membela bangsa dan negara sanggup nanti berbuat demikian

Pada pandangan saya tiada ada salahnya kalau Umno memberi memberi peluang kepada Dr Mahathir berucap di perhimpunan agung Umno kerana itu adalah medan yang paling sesuai.

Kalau baik katanya di perhimpunan itu nanti, sama-sama kita jadikan tauladan dan yang tidak baik kita jadikan sempadan kerana akhirnya yang membuat keputusan masih Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Presiden parti dan ahli-ahli Umno sendiri.

Kekalahan Dr Mahathir dalam pemilihan perwakilan Kubang Pasu adalah satu yang amat menyedihkan. Ini adalah tindakan yang paling lemah dilakukan oleh Umno Kubang Pasu.

Mustahil dalam berpuluh-puluh tahun Dr Mahathir memimpin Umno Kubang Pasu, tidak ada sedikit pun jasa yang pernah dirasai oleh ahli-ahli Umno bahagian tersebut.

Orang Melayu berpegang kepada nilai yang tua dihormati dan yang muda dikasihi. Ingatlah juga pesanan Nabi Mohammad s.a.w; "Orang yang tidak tahu berterima kasih kepada manusia tidak akan tahu berterima kasih kepada Allah s.w.t.."