Saya menulis sebagai tambahan kepada surat pembaca Plus terlebih kutip tol bagi laluan Kota Damansara-Damansara . Untuk makluman, saya juga kerapkali menggunakan laluan ini kerana saya tinggal di Kota Damansara.

Saya tertarik untuk menyemak 'Toll Fare Calculator' di laman web Plus untuk laluan dari Kota Damansara ke Subang pula kerana saya rasa keseluruhan sistem pengiraan perbatuan mempunyai masalah. Seperti di gambar-gambar 'screen capture' di bawah, saya dapati laluan ke Kota Damansara ke Subang ialah 9km dan bayaran yang dikenakan ialah RM1.20. ( kiri )

Apabila saya menyemak di laman web Plus laluan dari Kota Damansara ke Damansara untuk mengesahkan perbatuan yang dibuat oleh Mohd Faizal sebelum ini, ternyata ianya benar iaitu 7km, dengan kadar tol yang dikenakan ialah RM1 walaupun saya amat meragui jarak yang dipaparkan di laman web berkenaan. ( kanan )

Setelah kedua-dua pengiraan di atas dibuat, secara logiknya kita dapat simpulkan bahawa laluan dari Damansara ke Subang ialah hanya 2km setelah ditolak 9km (Kota D'sara - Subang) dengan 7km (Kota D'sara - D'sara).

Tetapi saya amat terkejut apabila mendapati sistem di dalam laman web Plus mencatatkan bahawa laluan dari Damansara ke Subang ialah 7km ( kiri ). Tidak perlu saya turun ke jalan untuk menentukan jarak perbatuan di antara kesemua laluan terbabit, dari atas kertas sahajapun kita boleh dapati pihak Plus telah tersilap atau sengaja mendiamkan perkara ini.

Pihak Plus mesti bertanggungjawab terhadap perkara ini. Janganlah mempergunakan pengguna yang telah dibebankan dengan pelbagai kenaikan barang-barang lain.