Boikot Batu Talam akan berulang
Saya tidak fikir pakatan Barisan Alternatif (BA) akan memboikot pilihanraya umum walaupun Naib Presiden PAS, Datuk Paduka Husam Musa, menyebut kemungkinan itu bukan suatu yang mustahil. Sekurang-kurang saya pasti tidak akan berlaku boikot dalam pilihanraya umum akan datang.
Tetapi melihat kepada keadaan dalam kecil Batu Talam, saya menjangka pembangkang akan mengulangi tindakan boikot ini di kawasan kubu kuat Barisan Nasional (BN). Ini suatu tindakan yang amat berkesan yang dilakukan oleh parti-parti pembangkang.
Jangan hirau sangat dengan tuduhan "bacul" dari pemimpin BN kerana kalau benar BN tidak "bacul" maka kenapa ia terus bersembunyi di sebalik kawalan media dan jentera kerajaan setiapkali berlakunya pilihanraya. Kalau BN tidak bacul, sudah lama Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dibebaskan daripada cengkaman mereka bagi menjamin pilihanraya yang bersih, telus dan adil.
Tindakan memboikot di kawasan kubu kuat BN akan memberi mesej bahawa tanpa persaingan politik yang kompetitif dan kawasan tersebut sebenarnya tidak mempunyai "nilai politik" yang tinggi. Kawasan yang tidak mempunyai nilai politik yang tinggi, tidak perlu diberi perhatian yang besar oleh parti-parti politik yang bertanding dan wajar diabaikan sahaja.
Kalau berlaku kematian wakil rakyat di kawasan kubu kuat BN, maka pengundi boleh melupakan sahaja durian runtuh pilihanraya kecil, melainkan mereka sanggup meletakkan calon bebas yang sanggup hilang wang pertaruhan. Ini akan mengajar pengundi tempatan tentang konsep "nilai politik" bagi sesuatu kawasan pilihanraya.
Sekiranya ada calon bebas yang bertanding, maka jentera BN akan tertekan dan terpaksa bekerja keras untuk membuktikan keabsahannya (legitimasi), tanpa pihak pembangkang perlu berbuat apa-apa dan mengeluarkan belanja yang besar. Seperti yang berlaku di Batu Talam, terbukti usaha membuktikan keabsahan politik itu jauh lebih sukar untuk dilakukan oleh BN berbanding usaha untuk sekadar mendapat kemenangan pilihanraya.
Sekiranya tidak ada calon bebas, maka tidak akan berlaku pilihanraya kecil dan segala habuan yang seharusnya datang bersama pilihanraya tersebut, juga tidak dapat dinikmati. Ini akan memberi mesej yang jelas kepada pengundi bahawa menjadi kubu kuat BN hanya akan mengurangkan nilai politik kawasan pilihanraya tersebut kerana ketiadaan persaingan politik yang kompetitif.
Dengan nilai politik yang rendah, pengundi di kawasan tersebut sebenarnya tidak mempunyai apa-apa kelebihan. Ini merupakan suatu pendekatan pendidikan politik yang berkesan dari sudut jangka panjang. Rakyat perlu disedarkan bahawa hegemoni politik bukanlah sesuatu yang menguntungkan rakyat dari sudut jangka panjang.
Dalam dua-dua keadaan di atas, tindakan memboikot pilihanraya kecil di kubu kuat BN, akan menguntungkan pembangkang dari sudut mesej politik yang ingin disampaikan. Tetapi, boikot yang dibuat bukanlah boikot pasif, tetapi boikot aktif, seperti yang dibuat di Batu Talam.
Boikot aktif bermaksud, parti pembangkang tetap akan bertemu dan mendekati pengundi bagi menerangkan bahawa tindakan boikot tersebut adalah untuk kebaikan mereka. Tidak ada sebarang halangan undang-undang bagi parti politik yang tidak bertanding dalam pilihanraya kecil bagi mengadakan program ceramah dan bertemu pengundi bagi menjelaskan tindakan tersebut.
Untuk mendekati pengundi, parti politik tidak semestinya meletakkan calon yang secara tidak langsung memberikan keabsahan terhadap operasi pilihanraya yang tidak telus dan berat sebelah, terutamanya di kawasan yang mempunyai nilai politik yang amat rendah, seperti Batu Talam.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.