Malaysiakini Surat

Apa sudah jadi dengan Khazanah, Parkway dan Pantai?

Ibnu Ibrahim  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Saya terpanggil untuk mengingatkan kembali (Melayu mudah lupa!) mengenai isu-isu yang melibatkan aset-aset strategik negara yang sudah terlepas ke tangan orang asing (Singapura). Seperti yang kita sudah maklum, wujudnya 'tangan ghaib' yang memainkan peranan dalam penjualan aset negara ke pihak asing, iaitu Khairy Jamaluddin.

Antara isu yang hangat diperkatakan suatu ketika duhulu ialah 31 peratus saham Pantai Holdings Berhad telah dibeli dengan harga RM311.58 juta oleh syarikat pelaburan Singapura Parkway Holdings Limited pada 13 September 2005.

Kemudian pada 28 Ogos 2006, pihak media melaporkan Parkway mendapat keuntungan berlipat kali ganda daripada pembelian semula saham Pantai oleh Khazanah Nasional.

Ini bermakna, Parkway telah membuat keuntungan modal kira-kira RM83 juta dalam masa tidak sampai setahun. (Parkway membelinya dengan harga RM312 juta dan kemudian menjualnya semula dengan harga RM394.9 juta)

Yang saya pelik ialah tiada lagi kedengaran tentang isu ini. Benarlah Melayu mudah lupa. Tetapi saya tidak lupa dan terus menunggu apakah jawapan terbaik daripada kerajaan Malaysia untuk mengembalikan semula penguasaan aset negara itu?

Mutakhir ini, timbul pula cerita ura-ura hasrat kerajaan untuk menggabungkan kumpulan Utusan Melayu dengan kumpulan New Straits Times Press (NSTP). Akan tetapi, selepas mendapat tekanan politik semasa, penggabungan itu gagal dilaksanakan.

Mungkinkah juga wujud tangan ghaib yang mencadangkan agar penggabungan tersebut dijalankan? Atau lebih tepat lagi, ia menjadi undi tidak percaya terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi?

Berbalik kepada persoalan aset negara (Pantai) yang sudah terlepas ke tangan asing. Daripada pemerhatian saya, antara yang terbaru kedengaran ialah anak syarikat Pantai Holdings Berhad iaitu Fomema dan Pantai Medivest akan dijadikan syarikat swasta. Persoalannya, siapakah yang bertuah itu? Adakah Khazanah atau syarikat kroni?

Akhir sekali, saya dan rakyat jelata memohon agar kerajaan memberikan penjelasan terhadap apa yang sudah berlaku itu. Semua yang dibangkitkan ini merupakan amanah rakyat. Sepatutnyalah amanah tersebut dijaga sebaik-baiknya untuk manfaat rakyat. Rakyat hakim negara!