Jawatankuasa Bertindak Membantah Pembinaan Taman Perindustrian dan Asrama Pekerja di Bertam mempersoalkan demostrasi menyokong projek Penang Technology Park (PTP) pada 5 Ogos di hadapan Pejabat Tanah dan Daerah Seberang Perai  Utara (SPU) Pulau  Pinang.

Sebaik  sahaja  kenyataan  rasmi  berkaitan penolakan CLQ diterbitkan dalam Buletin Mutiara bertarikh 4 Ogos, kami dimaklumkan bahawa individu-individu yang mengetuai demontrasi dan penyerahan memorandum kepada pegawai daerah Seberang Perai Utara tahun tersebut bukanlah penduduk tempatan sebaliknya tinggal di luar kawasan Bertam dan Kepala Batas.

Selain itu, majoriti peserta demonstrasi yang hadir pada hari tersebut merupakan warga emas yang tidak dikenali dan usaha mereka menuntut projek PTP dilaksanakan bagi memberikan peluang pekerjaan dilihat agak aneh.Namun, kami tidak melihat bagaimana PTP mampu memberi manfaat kepada majoriti warga emas tersebut kerana pihak pemaju mendakwa PTP hanya memerlukan tenaga pekerja muda yang berkemahiran tinggi sahaja.

Projek PTP ini dikatakan bakal menjadi taman  perindustrian berteknologi  tinggi  berasaskan revolusi perindustrian keempat dan tidak bergantung kepada buruh kasar yang kemahiran rendah.

Adakah wujud tangan-tangan ghaib di belakang peserta demonstratsi tersebut bagi memperlihatkan sokongan awam terhadap PTP demi meyakinkan pelabur dan pihak bank bagi memberikan pinjaman kepada pembeli lot industri yang masih di peringkat kelulusan?

Dakwaan bahawa kawasan Bertam kurang peluang pekerja juga tidak munasabah kerana

terdapat laporan menyatakan kadar pengangguran di sini adalah rendah iaitu purata 3.2% bagi negeri Pulau Pinang seperti yang dikeluarkan oleh Perkeso pada tahun 2021. 

Sehingga kini tidak pernah kedengaran suara penduduk tempatan menagih peluang pekerjaan di kawasa Bertam.

Kawasan Bertam terkenal dengan perumahan terancang dan hab pendidikan yang cukup memadai dalam menyediakan peluang pekerjaan termasuk menyediakan suasana selesa dan kemudahan kepada penduduk tempatan.

Pembinaan kawasan perindustrian berskala besar hanya akan  mengakibatkan  risiko pencemaran alam sekitar dan mempercepatkan pertumbuhan kesesakan trafik yang ekstrem di kawasan ini.

Kepadatan penduduk di Bertam yang tinggi serta jarak kawasan kediaman yang terlalu hampir dengan tapak industri (100 meter - 3km) akan mengundang kesan yang sangat buruk terhadap aspek kesihatan dan keselamatan penduduk setempat.

Untuk rekod, Pertubuhan Lestari Khazanah Alam (Lekas), bersama-sama Jawatankuasa Bertindak Membantah Cadangan Pembangunan Taman Perindustrian di Bertam dan Gabungan Komuniti Bertam Putra telah melancarkan petisyen bantahan terhadap cadangan projek tersebut secara bertulis pada 20 hingga 24 Julai 2022.

Kami  berjaya  mengumpulkan 1,662  tandatangan  penduduk  Bertam  yang membantah keras cadangan projek taman perindustrian tersebut. Petisyen bantahan bertulis tersebut kami serahkan kepada pihak datuk bandar MBSP, pengarah Jabatan Alam Sekitar dan pengarah Plan Malaysia.

Pecahan penduduk di zon teras dan zon penampan yang membantah dalam pestiyen bertulis tersebut adalah Bertam Eco Residence (93 orang), Mekarsari (59 orang), Putra Villa (121 orang), Casa Moderna Bertam Putra (160 orang), Casa Innova Bertam Putra (22 orang), Seksyen 2 Taman Bertam Putra (84 orang), Seksyen 3, 5 dan 6 Taman Bertam Putra (526 orang), Bertam Lakehomes (212 orang), Bertam Lakeside (52 orang), Bentara dan Panglima (114 orang), Pinggiran Bertam (112 orang), lain-lain (Bertam Lakeview, Bertam PGR, Bertam Indah, Syahbandar, Lahar Tiang, Permatang Langsat) (107 orang).

Selain itu, petisyen atas talian yang dilancarkan pada 19hb Mei 2022 lalu juga berjaya mengumpulkan 6,553 orang bagi membantah projek tersebut sedangkan kajian penilaian impak sosial (SIA) yang dilakukan pemaju secara atas talian hanya berjaya mendapatkan pandangan 411 orang responden.

Justeru itu, kami menggesa agar pihak berwajib dan pemaju projek untuk membatalkan cadangan membina taman perindustrian di Bertam yang akan menjejaskan kualiti alam sekitar dan  social  wellbeing penduduk  setempat.  

Kami  mencadangkan  agar  tapak  tersebut dibangunkan  dengan  projek  pembangunan  bercampur  yang  melibatkan  pembangunan perumahan pelbagai, institusi pendidikan tinggi, pejabat, pernigaan dan kemudahan awam.


PROF MADYA SR DR MOHAMAD SUKERI KHALID ialah pengerusi Jawatankuasa Bertindak Membantah Pembinaan Taman Perindustrian dan Asrama Pekerja di Bertam.

MOHD FAMY ABD RAJAB ialah pengerusi Gabungan Komuniti Bertam Putra.

ZIKRULLAH ISMAIL ialahy pengerusi Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (Lekas).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.