SPRM dalam satu kenyataan pada 11 Ogos yang lalu telah memaklumkan bahawa badan itu telah melengkapkan beberapa kertas siasatan terhadap individu-individu yang didakwa mempunyai kaitan dalam penyelewengan pembinaan kapal LCS yang kemudiannya telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.

Namun sehingga kini, masih belum ada pendakwaan yang dibuat ke atas mana-mana individu atau pihak yang terpalit secara langsung atau melalui proksi dalam kecurangan pembinaan projek LCS tersebut seperti yang didedahkan oleh laporan audit forensik dan laporan lain yang berkaitan meskipun peguam negara pada 16 Ogos yang lalu menyatakan bahawa Pejabat Peguam Negara akan membuat keputusan secepat mungkin.

Adapun pendakwaan yang dibuat ke atas bekas pengarah urusan BNS, Tan Sri Ahmad Ramli adalah berkaitan transaksi yang dibuat sebelum daripada kerajaan bersetuju untuk meluluskan bayaran pendahuluan sebanyak RM500 juta bagi perolehan projek LCS tersebut pada 21 Disember 2011.

Melihat kepada laporan audit forensik dan dapatan daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, terdapat bukti yang jelas dan kukuh untuk mengheret mereka yang terlibat dalam penyelewangan dana yang diperuntukkan bagi projek tersebut ke mahkamah, termasuk bekas menteri yang bertanggungjawab membuat keputusan untuk mengubah reka bentuk kapal tersebut tanpa sebarang justifikasi munasabah yang juga bertentangan dengan kehendak dan keperluan TLDM.

Kelewatan mengheret petualang-petualang ini ke Mahkamah hanya akan menimbulkan tanggapan buruk terhadap komitmen kerajaan dan perdana menteri dalam usaha memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Skandal LCS ini bukan hal yang baru diketahui oleh agensi penguatkuasa dan badan penyiasat. Ini juga merupakan diantara kecurangan besar yang melibatkan dana awam yang diketahui setakat hari ini selepas daripada skandal 1MDB.

Justeru tidak ada sebarang alasan yang munasabah bagi peguam negara untuk melengah-lengahkan pendakwaan terhadap individu-individu korup yang terlibat dan bersubahat menyeleweng dana kerajaan ini.

Watak-watak disebalik modus operandi rompakan ala 1MDB ini, yang dikhuatiri didalangi oleh watak-watak yang sama harus dihadapkan segera ke muka pengadilan.


KAMIL MUNIM Ialah timbalan Ketua AMK

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.