SURAT | Umumkan SOP pengundi yang positif Covid-19
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyarankan agar pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), mengumumkan segera Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk para pengundi yang disahkan positif Covid-19 untuk menunaikan tanggungjawab mereka sempena pilihan raya umum ke-15 yang akan datang ini.
Walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan pesakit Covid-19 dibenarkan mengundi oleh menteri interimnya, Khairy Jamaluddin, sehingga kini masih belum ada SOP pengundian diumumkan oleh SPR serta KKM.
Keadaan ini dinilai akan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengundi serta mencetuskan kekeliruan sekiranya ia tidak diumumkan seawal-awalnya pada minggu ini.
Abim untuk itu berpandangan bahawa pihak KKM dan SPR harus segera menyatakan kesiapsiagaan mereka dalam menyambut pengundi positif covid tahap 1 serta 2 di Pusat Daerah Mengundi.
Di samping itu, SOP berkenaan penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan penggunaan pembasmi kuman harus juga diumumkan secara jelas.
Saluran khas bagi pesakit covid-19 untuk kategori 1 serta 2 mengundi perlu diwujudkan untuk membolehkan mereka serta pengundi lain menunaikan tanggungjawab mereka tanpa perlu merasa bimbang.
Untuk itu penggunaan MySejahtera untuk mengemaskini status Covid-19 semasa mengundi, bakal memudahkan proses menyaring pesakit covid-19 dengan lebih awal serta sistematik.
Rakyat perlukan keyakinan bahawa mereka boleh turun mengundi dengan selamat, di balik peningkatan jangkitan semenjak kebelakangan ini di samping penularan varian Omicron XXB.
Untuk itu kesiapsiagaan SOP yang berkenaan perlu diumumkan untuk menangkis sebarang kekeliruan yang akan timbul sehingga ia boleh menjejaskan jumlah pengundi yang menunaikan tanggungjawab mereka kelak.
Dalam pada itu, Abim berharap menerusi langkah berjaga-jaga ini tidak akan menjejaskan galakan untuk seluruh rakyat keluar menunaikan tanggungjawab mereka membuang undi.
MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ ialah presiden Abim.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/03/92e1d96fdfd12ce3207c5c84f858654c.jpg)
