SURAT | Elak letak dua singa atas satu bukit
SURAT | Masih ingatkah kita akan ungkapan “when the going gets tough, the tough get going”? Ketika dunia dan negara dilanda wabak yang amat menakutkan, Allah SWT dengan rahmatnya mendatangkan kepada kita seorang pemimpin yang pantas bertindak.
Bukan sahaja mengekang wabak yang sedang mengganas tapi juga menyusun atur segala strategi dan menggunakan segala kuasa perundangan yang ada bagi memastikan kesihatan rakyat terpelihara, makan minum serta kebajikan rakyat terjaga .
Menghadapi krisis kesihatan yang pertama kali berlaku dalam sejarah negara oleh barisan kabinet yang baru sahaja mengambil alih tampuk pemerintahan bukanlah sesuatu yang mudah.
Namun berkat kebijaksanaan serta kesegeraan tindakan pimpinan negara pada waktu itu yang diterajui oleh Muhyiddin Yasin dibantu dengan kecekapan agensi-agensi kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan NGO , kesan terhadap kesihatan dan kesejahteraan rakyat berjaya diminimumkan .
Kini PRU ke-15 bakal tiba Sabtu ini. Perikatan atau gabungan parti-parti yang mantap, mempunyai semangat setiakawan yang tinggi serta tidak mengkhianati janji yang telah disepakati sewajarnya menjadi pilihan.
Demi kesejahteraan kita semua, pilihlah calon dari parti atau gabungan yang menamakan pemimpin tertinggi mereka sebagai calon perdana menteri.
Seandainya calon yang dinamakan bukanlah pemimpin tertinggi dan gabungan tersebut berjaya menubuhkan kerajaan, sejarah pasti berulang.
Episod ugut mengugut, berpuak-puak, surat akuan bersumpah , bahkan mungkin saman menyaman akan kembali mewarnai kanvas politik tanah air.
Jangan jadikan PRU ke-15 uji kaji
Mengikut pandangan salah seorang pakar perlembagaan , undang-undang lompat parti pun tidak mampu mencegah mana-mana ahli dewan rakyat untuk menyokong usul undi tidak percaya tehadap perdana menteri.
Dengan lain perkataan, ia masih mampu untuk menjadi senjata yang ampuh untuk mengugut seorang perdana menteri, apatah lagi jika ia bukanlah pemimpin tertinggi parti .
Usahlah kita memperjudikan nasib dengan meletakkan dua singa di atas satu bukit. Lambat laun pertembungan sengit pasti akan berlaku kerana masing-masing pastilah mempunyai cita-cita dan hulubalangnya yang tersendiri.
Akhirnya kerajaan yang terbentuk tiada kestabilan dan kita rakyat jelatalahyang akan menerima padahnya, lebih-lebih lagi dengan kesuraman ekonomi yang dijangka melanda dunia dan negara menjelang tahun 2023.
Kita semua sudah penat dan tidak mampu untuk menunggu lima tahun lagi untuk menamatkan semua ini. Noktahkan ia melalui kertas undi pada 19 november nanti. Jangan jadikan PRU ini sebagai medan ujikaji kerana PRU ke-15 ini dianggap ibu kepada segala pilihan raya .
Ubatilah kekecewaan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong terhadap perkembangan politik yang berlaku sebelum ini dengan memilih kerajaan yang mantap, berintegriti, stabil, tiada lagi ugutan untuk menarik sokongan serta terbukti prihatin terhadap kesejahteraan segenap lapisan rakyat selain menjunjung tinggi apa yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan .
Manfaatkan proses pilihan raya ini untuk memilih pemimpin dan kerajaan yang benar-benar boleh memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara. Ia adalah daripada rakyat untuk rakyat. Ia bukanlah satu wadah untuk menobatkan individu atau tokoh tertentu ke puncak kayangan .
ZM SALLEH ialah pembaca Malaysiakini.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/aedae08fec0f7d01091479df3de7f6ac.jpg)
