Paling Popular
Terkini

Sejak akhir-akhir ini, angin Monsun Timur Laut telah melanda negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula dari bulan November hingga Mac. Monsun Timur Laut ini telah membawa hujan lebat yang melanda negeri pantai timur sehingga menyebabkan banjir buruk.

Banjir yang berlaku pada tahun 2022 ini telah menyebabkan beberapa kes kematian, kerugian dan kehilangan tempat tinggal yang menimbulkan kesan trauma kepada mangsa yang terlibat.

Oleh itu, terdapat 11 tips dan maklumat penting sebagai langkah semasa dan selepas menghadapi banjir di tempat anda persis kata peribahasa “sediakan payung sebelum hujan”.

Semasa banjir

1. Sentiasa peka dan bersedia tentang info terkini melalui media sosial atau televisyen berkaitan cuaca yang berlaku di kawasan yang menghadapi banjir.

2. Perhatikan tahap ketinggian air di sekeliling rumah anda seperti tasik, aliran sungai, longkang, parit besar dan tali air sebagai langkah bersedia dan berjaga-jaga.

3.Letakkan dokumen penting dan barang berharga di tempat yang selamat atau tinggi seperti loteng rumah atau atas almari bagi mengelakkan kerugian yang besar.

4.Elakkan memandu merentasi atau melawan arus air banjir bagi menghindari kemalangan dan kehilangan nyawa. 

5.Sentiasa mengawasi dan menegah kanak-kanak daripada bermain dengan air banjir di parit, longkang dan saluran air yang deras.

6. Mengenal pasti lokasi pemindahan sementara dan kawasan selamat jika diarahkan berpindah dari kediaman sendiri. Jangan degil jika diarahkan ke pusat pemindahan kerana anda akan menyusahkan penyelamat.

Selepas banjir

1. Bersihkan rumah anda dengan menggunakan air bersih dan bahan pencuci. Lumpur yang memasuki kediaman mungkin mengandungi sisa kumbahan dan bahan kimia berbahaya.

2. Periksa paip saluran gas yang mungkin pecah atau bocor, wayar elektrik yang terendam di dalam air dan periksa peralatan elektrik yang tenggelam.

3. Jauhkan diri anda daripada sebarang kabel yang terjuntai di dalam air atau terputus. Hubungi syarikat bekalan elektrik untuk tindakan lanjut.

4. Hati-hati di kawasan yang telah terkesan dengan air banjir. Struktur jalan raya mungkin telah lemah dan boleh terjadi runtuhan.

5. Hulurkan bantuan kepada jiran anda atau orang kurang upaya (orang tua, kanak-kanak atau golongan istimewa).

Natijahnya, semoga perkongsian tips ini akan memberi manfaat dalam membantu mangsa banjir di kawasan kita. Kita semua mendoakan keselamatan dan kesejahteraan mereka. Semoga rakyat Malaysia yang ditimpa banjir menjadikan bencana ini satu teguran dari Yang Maha Kuasa.


MOHAMAD ZULKARNAIN RIZAL ialah pelajar dalam bidang komunikasi media baru di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Tulisan itu tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS