SURAT | Tahniah menteri agama baru
Saya berasa amat bersyukur atas pelantikan Mohd Naim Mokhtar sebagai menteri hal ehwal agama baharu. Sudah pasti ketokohan dan kewibawaan dia tidak dapat pertikaikan dari segi ilmu dan pengalaman pentadbiran Islam khasnya dalam bidang perundangan. Namun barangkali cabaran yang harus dihadapi oleh YB senator adalah persekitaran dan suasana perpolitikan dalam negara disebabkan pengalaman dia sebelum ini hanya di ruang kamar mahkamah.
Apa pun penilaian yang hendak diberikan, watak YB Senator, yang saya lebih kenali sebagai Naim sejak lebih 10 tahun yang lalu, ketika dia menyiapkan Phd-nya di UKM dan saya dalam bidang sarjana di sana sekitar tahun 2004-2005. Watak seorang hakim dalam bidang perundangan keluarga memang tidak boleh dipertikai semasa dalam bilik kuliah dia sering melengkapi sudut teori dan praktisnya bidang ilmu bersama-sama gurunya Zalikhah Mohd Nor.
Naim seorang yang lemah lembut dan mudah didekati. Mudah tersenyum tetapi di sebalik senyuman itu ada ketegasan. Gurauan yang diberikan tidaklah sewenang-wenang tanpa ada isi dan maknanya tersendiri. Sebagai rakan dan kenalan, Naim saya kenali sebagai seorang yang cintakan ilmu. Perkenalan berterusan ketika kami bertemu di United Kingdom, jika tidak silap saya beliau mendapat tawaran membuat penyelidikan di SOAS London. Manakala saya menemani isteri menyambung Phd di Universiti of Sheffield.
Cabaran sebagai menteri agama pastinya ada. Seluruh rakyat akan melihat pendekatan dan cara menteri baharu ini dalam mengemudi agensi Islam, menangani cabaran dan isu hal ehwal Islam negara. Pertembungan pemikiran, fiqih dan kecenderungan boleh diatasi dengan kebijaksanaan dia sebagai menteri dan kumpulannya untuk menyantuni hal-hal berkaitan masa depan Islam di Malaysia. Apatah lagi dia harus bersama-sama memimpin kerajaan baharu dibawah kepimpinan Perdana Menteri ke-10 Anwar Ibrahim.
Sebagai seorang pimpinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Malaysia, saya ingin menzahirkan ucapan tahniah kepada Naim atas amanah baru yang ditaklifkan ini. Sudah tentu amanah ini sangat besar diberikan, namun percayalah ramai diluar sana yang sedia membantu dalam apa jua keadaan demi memastikan agenda Islam dinegara ini dapat dilaksanakan dan dikotakan. Bawalah agenda kemakmuran Islam dan keindahan Islam bagi seluruh rakyat dinegara ini, disamping menampilkan Islam sebagai contoh terbaik kepada rakyat. Malah mendidik masyarakat muslim dinegara ini agar sentiasa kuat untuk membuktikan amalan islamnya tanpa ragu-ragu.
HASRI HARUN ialah timbalan presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/593d8693fd66573b5fe195ca1a987b60.jpg)
