Majlis Daerah Samarahan didakwa tidak berfungsi
Kebanyakan penduduk di daerah Samarahan, Sarawak, amat berharap agar Majlis Daerah Samarahan (MDS) dapat memberi perhatian kepada soal kebersihan dan keselesaan penduduk, terutamanya di kawasan perumahan.
Boleh dikatakan lori sampah hanya datang mengutip sampah dua minggu sekali dan alasan yang diberikan ialah lori sampah selalu rosak.
Selain itu, syarikat yang ditawarkan tender untuk memotong rumput dan membersihkan longkang juga tidak melakukan kerja dengan baik. Ada rumput yang menjalar dan pokok kecil tidak dipotong dengan alasan. Mesin pemotong rumput hanya menggunakan bilah plastik dan bukannya pisau.
Jadi, rumput dan pokok kecil dibiarkan membesar. Longkang pula hanya dicabut rumputnya saja tapi lumpur dan sampah dibiarkan, mengakibatkan air longkang berbau busuk kalau tiada hujan. Mungkin bagi MDS, bau ini adalah hadiah kepada penduduk.
Satu lagi masalah yang dihadapi dan tidak pernah diselasaikan ialah keadaan jalan di taman perumahan yang berlubang dan sebahagiannya tidak boleh digunakan. Akibatnya, rim kereta rosak dan tayar mudah pancit apabila melalui jalan tersebut.
Nasib baik, sehingga ini belum ada nyawa yang melayang. Pergilah ke taman perumahan di Lorong Foh Phin berdekatan dengan Taman Bintang. Jalan ini sudah bertahun berkeadaan sedemikian walaupun semasa pilihanraya diadakan.
Adakah MDS tidur? Untuk pengetahuan MDS, semua penduduk di taman perumahan membayar cukai taksiran. Di mana MDS? Apa gunanya bangunan MDS yang cantik dan tersergam indah tetapi warga kerjanya asyik tidur dan hanya menunggu aduan tanpa sebarang tindakan.

