SURAT | Benarkan pengundi luar negeri jadi pengundi pos
SURAT | Saya ingin mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuka kategori pengundi yang bekerja atau belajar di luar negeri sebagai pengundi pos.
Dengan pilihan raya berasingan bagi negeri Selangor, Pulau Pinang, Negri Sembilan, Kelantan dan Terengganu yang akan berlaku selewat-lewatnya bulan September nanti, adalah penting bahawa pengundi dari luar negeri kawasan mengundi diberikan peluang untuk mengundi secara pos.
SPR harus faham bahawa pengundi yang bekerja di negeri lain telah membelanjakan kos pengangkutan balik semasa PRU ke-15, serta balik sempena Tahun Baru Cina baru-baru ini dan yang akan menyusul adalah cuti sempena perayaan Sambutan Aidilfitri pada bulan Mei nanti.
Cadangan penambahbaikan ini juga penting untuk pengundi Sabah dan Sarawak untuk pilihan raya negeri nanti juga bagi mengurangkan kos perbelanjaan penerbangan hanya untuk balik mengundi.
Dengan pendaftaran pengundi secara automatik, bilangan pengundi telah naik secara mendadak sebanyak 21 juta dan kemungkinan besar ini akan menjadi beban secara logistik semasa pengurusan pengundi pada hari mengundi nanti.
Saya sendiri telah menyaksikan kesesakan semasa pengundi beratur untuk mengundi di daerah mengundi Monterez serta di Bukit Subang bagi Parlimen Shah Alam pada PRU 15 lalu.
Selain daripada Pos Malaysia, ada pelbagai lagi syarikat logistik di Malaysia yang juga terlibat dengan syarikat e-dagang mampu untuk memudahkan SPR dalam pengurusan undi pos. Lagipun ini melibatkan undi pos di antara negeri dan bukan rumit seperti pengurusan undi dari luar negara.
SPR harus mengikut VISI SPR, iaitu:
- Memartabatkan Institusi Pengurusan Pilihan Raya Bagi Mendaulatkan Demokrasi Negara.
Serta mengikut MISI SPR iaitu:
- Memperkasakan Pengurusan Pilihan Raya Yang Lebih Efisien, Telus dan Adil Berlandaskan Perlembagaan dan Undang-Undang Bagi Mengukuhkan Kepercayaan Rakyat.
Oleh yang demikian, pihak SPR harus menjadi pemudahcara untuk memastikan sebanyak mungkin rakyat Malaysia turun mengundi pada pilihan raya negeri nanti jika benar-benar komited dalam mengikut visi dan misi SPR.
SPR harus sedar dan belajar daripada kelemahan PRU 15 Lalu untuk menjadikan proses pilihanraya lebih efisien.
Sebagai aktivis DAP dan Pakatan Harapan, kita harus memainkan peranan untuk memastikan gelombang hijau semasa PRU 15 lalu yang berpunca daripada fitnah parti PAS dihentikan dengan serta merta sebelum merebak seperti sebuah penyakit toksik yang akan merosakkan pembangunan negara.
MUHAMMAD SHAKIR AMEER merupakan ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/11/e7ad2b8c74356f06c631b2be45154219.jpg)
