SURAT | Saya adalah salah seorang yang menghadiri upacara pengebumian mangsa kanak-kanak berumur tujuh tahun yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh Father’s Organic Farm di Batang Kali turut.

Saya terkesan dengan keperitan pasangan suami isteri yang kehilangan anak tunggalnya.

Tragedi ini bahkan menggegarkan seluruh rakyat Malaysia yang sedang sibuk mengatur percutiaan, persediaan sambutan Krismas dan Tahun Baru.

Tetapi yang pasti ialah kepiluan yang dihadapi oleh setiap ahli keluarga mangsa tanah runtuh yang masih mempunyai pelbagai persoalan.

Baru-baru ini, kerajaan negeri Selangor telah menghulurkan sumbangan wang ihsan kepada waris mangsa. Penerima bantuan termasuk dari Kuala Lumpur, Melaka dan Pulau Pinang.

Saya menyambut baik usaha kerajaan negeri Selangor yang prihatin terhadap ahli keluarga yang terkesan tanpa mengira negeri mangsa.

Baru-baru ini, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menyatakan bahawa kerajaan negeri Selangor sedia mengemukakan laporan penuh yang disediakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains, sekiranya terdapat permohonan waris mangsa.

Kenyataan ini dipaparkan sehari selepas waris mangsa mengadakan perjumpaan dengan media untuk menggesa kerajaan mengemukakan hasil laporan penuh secepat mungkin.

Keresahan waris mangsa tidak dapat dipinggirkan apabila maklumat terperinci mengenai kejadian itu tidak dimaklumkan kepada mereka.

Saya percaya kerajaan Negeri Selangor mampu meringankan beban emosi waris keluarga dengan mengambil langkah proaktif untuk memanggil semua waris keluarga dalam pertemuan bersemuka (tanpa permohonan) untuk mendedahkan laporan tersebut bagi menunjukkan ketelusan kerja dan kepekaan kepada mereka.

Langkah-langkah proaktif dan telus akan memberi semua waris keluarga dan sahabat handai ‘sebuah jawapan’ yang bakal mengurai ikatan beban yang dipikul semenjak 16 Disember 2022.

Selain itu, saya menggesa supaya pihak kerajaan memantau dan meneliti segala penilaian secara tegar dalam Penilaian Impak Alam Sekitar (Enviromental Impact Assessment) dan menimbangkan pendekatan Penilaian Strategik Alam Sekitar (Strategic Environmental Assessment) sebagai analisis yang saling melengkapi bagi sebarang perancangan pembangunan kawasan.

Semoga tragedi seperti ini tidak sekali lagi berulang.


TINA YAP LI YAN merupakan anak Negeri Selangor Dan graduan Sarjana Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia. Penulis berkecimpung dalam bidang pemerkasaan komuniti tersisih selama 20 tahun dan melibatkan diri dalam penjagaan alam dan kelestarian sebagai ahli Pertubuhan Sisa Sifar Malaysia (Zero Waste Malaysia).

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Malaysiakini.