Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT l MTUC saran pelarasan gaji minimum secara terus

SURAT l Pengumuman Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tentang pelarasan kadar gaji dan upah mengikut perintah gaji minimum bagi kontrak perkhidmatan kerajaan amat melegakan MTUC. Ini adalah manifestasi kerajaan madani yang mengutamakan kebajikan pekerja bawahan.

Perjuangan MTUC dalam mendapatkan pelarasan kadar gaji minimum telah direalisasikan oleh Anwar setelah perjumpaan dengan kepimpinan MTUC pada 28 Mac lalu. Keterbukaan perdana menteri amat dihargai oleh MTUC yang mewakili kaum pekerja.

Pekerja yang bekerja di bawah kontrak perkhidmatan kerajaan seperti pembersihan dan pengawal keselamatan di sekolah, hospital dan lain-lain yang sepatutnya menerima gaji minimum RM1500 bermula pada 1 Mei tahun lalu. Majikan gagal membayar gaji minimum atas alasan kerajaan tidak membayar pelarasan kadar gaji minimum yang baru. Tunggakan setiap pekerja sehingga sekarang boleh mencecah RM3600 seorang.

Sikap tidak bertanggungjawab oleh majikan telah menyebabkan pekerja tempatan sendiri menjadi mangsa buruh paksa dalam sistem perburuhan di Malaysia. Keengganan majikan membayar gaji minimum telah merencatkan perkembangan ekonomi negara dan telah melanggar perintah gaji minimum.

Walau apa pun sebab kegagalan majikan membayar gaji minimum dalam perkhidmatan kerajaan sama ada kelewatan kerajaan membayar pelarasan atau faktor kewangan kontraktor bermasalah, pekerja bawahan tidak boleh menjadi mangsa dengan kelemahan sistem yang dikuatkuasakan oleh kerajaan. Kegagalan membayar gaji minimum mesti dilihat sebagai kelemahan sistem kontrak

MTUC tidak bersetuju jika kerajaaan memutuskan untuk membayar pelarasan hanya kepada kontraktor yang telah membayar gaji minimum beserta dengan bukti pembayaran kerana sudah tentu syarikat akan gagal membuktikan pembayaran. Cara pembayaran pelarasan ini akan menyebabkan pekerja dinafikan mendapat pelarasan dan penganiayaan terhadap pekerja bawahan.

MTUC mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan data kontraktor  dan bekerjasama  dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM). Data kontraktor ini di gunakan untuk membayar pelarasan secara terus kepada pekerja .Tunggakan gaji adalah titik peluh pekerja yang mesti diberikan . Penahanan bon kontraktor juga boleh di buat jika kontraktor gagal membayar pelarasan kepada pekerja.

Kerajaan mesti mengambil tanggungjawab bagi memastikan majikan membayar tunggakan kepada pekerja dengan KSM boleh menggunakan kuasa bagi memastikan semua pekerja di sektor di bawah kontrak kerajaan mendapat hak mereka. Pengalaman pembayaran pelarasan pada perintah gaji minimum pada 2016,2019 dan 2020 boleh dijadikan rujukan.

MTUC mencadangkan supaya KSM memanggil pihak berkepentingan bagi memastikan isu gaji minimum tidak menjadi beban kepada kerajaan. Isu ini boleh menjadi barah kepada kerajaan yang mendatangkan persepsi buruk kepada kerajaan. Mekanisme pembayaran pelarasan kadar gaji perlu diwujudkan supaya menjadi panduan kepada pekerja dan kontraktor setiap kali perintah gaji minimum baru diumumkan.

Oleh kerana isu ini telah menyebabkan ketidakadilan kepada pekerja bawahan sekian lama maka wajarlah tindakan yang cepat dan berkesan perlu dibuat. Keprihatinan perdana menteri telah ditunjukkan dan hanya pelaksanaan daripada pihak berkuasa untuk memastikan pelarasan di berikan pada pekerja bawahan.

Sempena Hari Pekerja yang akan datang, MTUC mengharapkan isu pelarasan ini akan dinikmati dan menjadi realiti kepada seluruh pekerja di bawah kontrak kerajaan.


KAMARUL BAHARIN MANSOR adalah setiausaha agung MTUC.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS