Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Abaikan kapitalisme pelangi dan sertai akar umbi, nok

Isu yang sedang hangat diperbincangkan di media sosial tak lain tak bukan isu LGBT. 

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan rampasan produk syarikat Swatch yang dipromosikan sempena menyambut gerakan Pride di seluruh dunia ke arah mesra keragaman.

Menyitir laman sesawang rasminya: 

“Setiap jam tangan diwarnai salah satu rona yang terdapat pada panji Pride dan menonjolkan jarum-jarum saat yang simetrikal untuk melambangkan kesetaraan. “Dua gelung pelangi menyatukan warna untuk menyambut kebersamaan dan keragaman yang menjadikan masyarakat - serta Swatch - sangat teguh.”

Ramai dalam kalangan komuniti dan yang bergelar ally lantang mengutuk tindakan KDN yang bak kata mereka mengekang kebebasan ekspresi dan hanya akan memalukan nama negara di persada dunia dengan memberi gambaran Malaysia sebagai negara yang tiada sikap toleransi.

Suatu badan bukan kerajaan, iaitu Jejaka, mengeluarkan kenyataan yang menentang perbuatan KDN tersebut. 

Tetapi, kita yang peka akan perkembangan politik wajib mengenali kapitalisme pelangi (rainbow capitalism). 

Ia merupakan fenomena yang berlaku di barat, syarikat swasta memasarkan produk-produk khas sempena Bulan Jati Diri untuk mengaut untung daripada pengguna LGBT. 

Pada pandangan pertama, perbuatan ini kelihatan tidak memudaratkan namun realiti adalah sebaliknya. 

Bila mana syarikat-syarikat tersebut mengambil kesempatan untuk menarik segala perhatian kepada barang jualannya yang dihiasi corak pelangi dan cogan dangkal serta langsung tidak mengandungi apa-apa mesej revolusioner, komuniti kita lupa akan semangat asal Pride.

Pride bukanlah masa untuk menyambut keragaman kita semata-mata. Ia mula disambut untuk memperingati peristiwa rusuhan di Stonewall selama enam hari. 

Rusuhan tersebut merupakan tindak balas hebat terhadap kelakuan polis yang menyerbu premis yang menjual minuman keras kepada golongan LGBT atas sebab undang-undang ketika itu yang mengharamkan jualan alkohol di tempat yang “tidak senonoh”. 

Kehadiran orang LGBT yang berpakaian berlawanan norma jantina dianggap tidak senonoh dan dijadikan alasan untuk polis menangkap mereka dan memberi layanan yang tidak berperikemanusiaan. 

Sejak peristiwa ini, gerakan membebaskan golongan LGBT daripada penindasan telah meluas ke seluruh dunia.

Daripada mempertahankan hak kapitalis untuk mempergunakan perjuangan kita demi agenda tamak halobanya, lebih baik kita melibatkan diri dalam gerakan akar umbi. 

Lihatlah keadaan komuniti. 

Anak dibuang rumah kerana orientasi seksual mahupun gendernya, mak nyah terpaksa menjual diri demi melangsungkan hidup lantas menghadapi keganasan daripada pelanggan dan pihak berkuasa, PLHIV mengalami diskriminasi di tempat kerja hanya kerana stigma yang berkait rapat dengan perangai homomisik. 

Terlalu banyak isu yang lebih penting untuk kita beri tumpuan daripada isu Swatch ini.

Sebaiknya, kita mencontohi Tharani yang bertungkus-lumus melawan majikan yang membulinya dalam percubaan untuk memaksanya berhenti kerja hanya kerana beliau seorang transnita. 

Hal ini tidak diterima oleh Tharani hingga beliau telah menyertai aktiviti kesatuan untuk mempertahankan haknya sebagai transnita yang bekerja. 

Meskipun menghadapi pelbagai rintangan, beliau tetap semangat berjuang. 

Kata beliau, “Kita perlukan kesatuan untuk membantu dengan apa-apa masalah. Kesatuan memelihara hak kita.”

Akhir kata, kita tidak patut membenarkan kaum korporat dan borjuis terus mengaburkan erti Pride. 

Perjuangan LGBT bukan terletak pada koleksi barangan bercorak pelangi, tetapi pada diri kita sendiri yang menganggotai satu komuniti. 

Perbuatan menjadi pendekar papan kunci yang hanya menyalak di alam maya tidak akan membuahkan apa-apa hasil. 

Kita harus menyambut baton daripada pejuang-pejuang terdahulu dengan menyertai akar umbi demi menentang segala bentuk penindasan agar suatu hari nanti, kita dapat menikmati pembebasan yang sejati, insyaallah.


AYMAN HAREEZ MUHAMMAD ADIB ialah anggota Jawatankuasa Pemuda Sosialis, Parti Sosialis Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS