SURAT l Pilihan raya enam negeri yang bakal diadakan tidak lama lagi semakin menjadi bualan. Macam-macam andaian dan spekulasi dibuat.

Ada yang meramalkan Kedah,Terengganu dan Kelantan akan kekal milik PN selain bacaan mereka bahawa Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang juga akan ditawan.

Politik adalah persepsi dan jangkaan namun kuasa rakyat akan menentukan segalanya. 

Kebijaksanaan parti-parti yang bertanding dalam memenangi hati rakyat akan menentukan siapa pilihan rakyat dan umpan siapa yang akan mengena. Apapun, rakyat semakin bijak dan matang membuat pilihan.

PH dengan rekod cemerlang selepas sekian lama mentadbir Selangor, Negeri sembilan dan Pulau Pinang sementera PN menawarkan pilihan dan pelbagai alasan  mengapa negeri-negeri itu perlu diubah.

Menjadi teka-teki kenapa Perikatan Nasional (PN) tidak menamakan calon menteri besar mereka atau “poster boy” mereka dalam PRN Selangor. 

Khabarnya sudah ada calon Menteri Besar Selangor jika gabungan itu berjaya menawan Selangor. Bukan bekas panglima Umno seperti Shahidan Kassim, atau Noh Omar tetapi sandaran mereka adalah bekas menteri besar, Azmin Ali yang juga bekas timbalan presiden PKR yang telah mengkhianati PH.

Namun kononnya calon menteri besar PN “dirahsiakan” seolah-olah memperlihatkan PN sedang menghadapi masalah tertentu. Ada yang kaya, mungkin dengan sekutunya. Atau juga takut isu-isu lampau akan menggagalkan usaha mereka.

Andai benar, jika Azmin jadi pertaruhan PN sebagai calon menteri besar sekiranya PN berjaya menawan  Selangor, maka tugas PH untuk kekal berkuasa lebih mudah dan selesa.

Persoalannya PN tidak berani berterus terang sekaligus menimbulkan banyak kemungkinan kerana populariti Azmin makin pudar selepas mendalangi Langkah Sheraton dan dilihat tidak lagi gah seperti sewaktu berada dalam PKR sebelum ini.

Azmin pernah meluahkan hasrat untuk berehat dan tidak bertanding namun kenyataan bekas MB Selangor itu dilihat sebagai sekadar mahu menguji pasaran politik dirinya. Hakikat adalah dia tetap ghairah dan bernafsu untuk kembali selepas hilang kerusi Parlimen Gombak dalam PRU 15 yang lalu apabila tewas oleh Amirudin Shari.

Politik Azmin makin terumbang-ambing dan seperti sudah sampai ke penghujung. Mungkin juga Azmin akan berhadapan dengan isu-isu yang sukar ditepis jika dia diletakkan sebagai poster boy. Semua ini serba mungkin dan menjadi tumpuan.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menaruh harapan kepada Azmin untuk “menghadiahkan” Selangor kepada PN dan impian ini seperti angan-angan untuk memeluk gunung. 

Berdasarkan kecemerlangan Amirudin memacu Selangor, keyakinan PH/BN untuk mencatat kemenangan 50-6 untuk kerusi DUN Selangor amat cerah. Namun ada yang begitu yakin PH mampu mencatatkan rekod 56-0, iaitu “menyapu bersih” semua kerusi undangan negeri Selangor.

Apapun PRN Selangor bakal memperlihatkan persaingan sengit dan diyakini isu-isu lama akan berputar kembali. Jika “ya” Azmin sebagai calon MB, longgokan isu lampau akan kembali menghiasi malam ceramah PRN Selangor kali ini.

Selangor adalah benteng utama PH dan PN tidak sabar lagi untuk menguasai negeri terkaya itu sebagai persiapan dan persediaan untuk berhadapan dengan PRU-16 nanti.

Walaupun apa percaturannya, Selangor bukan mudah untuk ditawan PN.

Fakta membuktikan bahawa Amirudin banyak membantu rakyat. 


DAHLAN MAAMOR adalah pemerhati politik yang juga bekas setiausaha politik menteri pengangkutan Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.