Sewaktu melanjutkan pengajian dalam bidang master of policy and management di universiti of melbourne, Australia, saya berazam untuk terpilih sebagai pelajar beberapa subjek elektif yang diletakkan sebagai subjek capstone bawah kursus ini. 

Salah satunya adalah subjek executive internship.

Proses bergelar pelajar praktikal

Untuk terpilih sebagai salah seorang pelajar praktikal, purata markah terkumpul bagi semester lepas mestilah melebihi 76 markah dan pelajar hendaklah berjaya mendapat penempatan praktikal melalui usaha sendiri sebelum tarikh akhir yang ditetapkan. Seperti Malaysia, kebanyakan tempat menawarkan latihan praktikal secara tidak berbayar. 

Apabila saya bertanya kepada koordinator subjek tentang rasional latihan praktikal tidak berbayar dalam satu taklimat, Dr Ali memaklumkan bahawa latihan praktikal ibarat kursus latihan percuma yang disediakan oleh organisasi sebagai persiapan melangkah ke alam pekerjaan. Ibarat menyediakan program khidmat masyarakat.  

Latihan praktikal juga boleh dijadikan sebagai batu loncatan untuk diserap terus sebagai pekerja tetap di organisasi jika ada ruang. Bergantung nasib, ada juga organisasi yang menawarkan praktikal berbayar namun persaingannya sudah pasti sengit dan mengutamakan mahasiswa warga tempatan.

Alhamdulillah, setelah berpuluh permohonan dan beberapa siri temu duga dilalui, akhirnya saya berjaya mendapat tempat di Australia India Institute (AII), tidak berbayar. 

Meskipun hanya bekerja dua hari seminggu, ada kalanya tuntutan tugas kadang kala memerlukan saya bekerja melebihi had yang dipersetujui. Saya bersyukur kerana masih ada berpeluang untuk bersemuka dan bersosial dengan kakitangan lain di organisasi saya bekerja, Berbanding rakan yang lain, ada juga yang hanya bekerja melalui zoom sepanjang latihan.

Pembelajaran di Australia India Institute

AII merupakan institusi pemikir atau think tank yang diterajui oleh tiga universiti ulung di Australia, iaitu University of Melbourne, University of Western Australia dan La Trobe University dengan dukungan kerjasama Department of Education, Skills and Employment, Australian Government, badan korporat seperti Australia India Business Council, Asialink, Australia India Chamber of Commerce, Australian Institute of International Affairs dan Observer Research Foundation. 

Ditubuhkan pada tahun 2008 oleh kerajaan Australia dengan peruntukan bajet tahunan tertentu, penubuhan organisasi ini menjadi mercu tanda kesungguhan dan keutamaan perdagangan Australia terhadap negara rakan, India. Chief Executive Officer (CEO) AII yang terkini, the Hons Lisa Singh merupakan seorang bekas senator parlimen Australia.  

Melalui penerbitan cadangan ringkasan dasar (brief policy), penganjuran dialog dan program kepimpinan melibatkan tokoh kepimpinan jemputan kedua- dua buah negara, AII memainkan peranan penting sebagai jambatan dan sistem sokongan Kerajaan dalam mempererat hubungan dua hala antara Australia dan India.

Sebanyak 75 buah program berimpak tinggi telah dilaksanakan pada tahun 2021. Antaranya adalah siri webinar Melbourne India Researchers, seminar South Asia, peluang kerjasama pendidikan Australia-India, dan Australia India Leadership Dialogue.

Saya sempat terlibat sebagai penyedia draf ucapan untuk wakil Department of Education, Australian Government dan CEO AII untuk program Masterskill Technical and Vocational Education and Training (TVET). Program ini merupakan sebuah program latihan, kolaborasi antara AII dengan rakan penyelidik daripada negara India, yang bertujuan memberi pendedahan kepada penyedia perkhidmatan pendidikan TVET Australia mengenai landskap pasaran India.

Selain itu, AII juga membuka peluang kepada lambakan pemegang ijazah PhD di kedua-dua buah negara untuk terlibat sama menghasilkan penyelidikan pragmatik berkaitan hubungan dua hala Australia dan India. Antara program yang dijalankan bagi tujuan ini adalah Academic Researchers Fellows, Australian Researcher Cooperation Hub India dan Australia India Unnati Research Grant.

Program penerbitan kertas penyelidikan bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kolaborasi penyelidikan, malah turut mensasarkan peningkatan mobiliti pelajar penyelidikan dan perkongsian kepakaran antara dua negara. Kertas penyelidikan berimpak tinggi dilaporkan kepada kerajaan sebagai rujukan pembuatan dasar.

Bertonggakkan kepada tiga tema dasar, iaitu ketenteraman dan geopolitik (security and geopolitics), hubungan ekonomi dua hala (bilateral economy) dan diplomasi budaya (cultural diplomacy), gerak kerja AII turut mendasar sehingga ke peringkat mendokong peranan diaspora India di Australia sebagai aset baharu.

Diaspora bermaksud sekumpulan individu yang berkongsi asal budaya dan wilayah kependudukan namun menetap jauh daripada tanah air seperti migran, pelajar antarabangsa dan ekspatriat.

Sebagai salah satu penyumbang dokumen dasar India Economic Strategy to 2035, AII mendokong idea terkini kerajaan Australia yang meletakkan pertalian hubungan antara manusia kepada manusia lain (people-to-people links) sebagai aset teras kepada pengukuhan hubungan bilateral negara. Daripada pertalian erat sesama manusia, sejarah membuktikan hubungan perniagaan (business to business) akan semakin kukuh.

Dalam konteks ini, diaspora dijadikan kunci utama kuasa lunak atau “soft power” yang mampu mempengaruhi dasar luar negara. 

Diaspora juga berperanan penting dalam membawa identiti dan budaya negara India untuk dikenali dan dihormati warga Australia. Program berorientasikan literasi atau celik India dalam kalangan warga Australia dan literasi atau celik Australia dalam kalangan diaspora menjadi keutamaan bawah tema dasar diplomasi budaya.

Pihak AII juga menjadikan siri libat urus bersama pihak berkepentingan seperti pembuat dasar, tokoh pemikir, penganalisis, penyelidik dan tokoh industri sebagai langkah untuk menggiatkan diplomasi budaya. 

Melalui tugas penyelidikan diplomasi budaya, saya mendapat tahu mengenai kesan program Master Chef Australia terhadap perdagangan dua hala negara. Menu masakan yang diperkenal oleh peserta diaspora India dengan menggunakan bahan mentah dari Australia dan India memberi kesan kepada kadar eksport dan import bahan mentah kedua-dua negara. Malah perkembangan ini juga turut didukung oleh lambakan restoran India di Australia. 

Diaspora India dalam kalangan golongan professional juga aktif dalam menyumbang kepakaran dan tenaga dalam membangunkan golongan profesional muda baharu India di tanah air. 

Menerusi program tanggungjawab sosial korporat, kebajikan dan pembangunan komuniti merentas sempadan negara, warga India khususnya golongan belia mendapat keistimewaan perkongsian maklumat, latihan dan didikan daripada rakyat India yang berhijrah. 

Bagi menghargai sumbangan diaspora dalam memperat hubungan bilateral dalam pelbagai aspek, kedua-dua negara mengiktiraf pengorbanan dan usaha mereka menerusi penganugerahan darjah kebesaran Medal of the Order (OAM) daripada kerajaan Australia dan anugerah Pravasi Bhartiya Samman daripada kerajaan India. Kedua-dua anugerah ini merupakan darjah kebesaran tertinggi negara yang dikurniakan kepada mereka yang memberi sumbangan berimpak besar kepada pembangunan dan kebajikan masyarakat. 

Bawah tugasan diplomasi budaya juga, saya didedahkan dengan peranan pelajar antarabangsa sebagai duta kecil negara. Pelajar antarabangsa merupakan antara kelompok diaspora penting yang berperanan sebagai agen mempromosi identiti dan nama baik negara di mata negara lain. Selain menimba ilmu dalam kelas, kajian akademik juga membuktikan kadar pelancongan dan literasi kebudayaan sesebuah negara dapat ditingkatkan menerusi peranan aktif pelajar antarabangsa. 

Program khusus seperti pameran seni dan kebudayaan di muzium, galeri nasional serta sambutan perayaan dan yoga di seluruh Australia juga dimanfaatkan sebagai strategi diplomasi budaya oleh kedua-dua negara. Malah terdapat juga kerjasama dalam industri perfileman melalui pemberian geran kebudayaan sebagai langkah meningkatkan statistik pelancongan di kedua-dua negara.

Pengajaran daripada pengalaman praktikal 

Terdapat beberapa pengajaran berharga dan idea baharu yang dapat saya kutip sepanjang tempoh latihan praktikal ini. 

Pertama, peranan think tank sebagai sistem semak imbang dasar kerajaan wajar diberi perhatian. Selain menghasilkan penerbitan kajian penyelidikan pragmatik yang sesuai dengan hala tuju dasar kerajaan semasa, terma rujukan geran kepada institusi sebegini boleh diperkemas dengan meningkatkan peranan mereka sebagai agen pelaksana juga. 

Selain forum dan wacana bersifat akademia, kumpulan think tank disaran membina kolaborasi urus tadbir bersama pihak industri dan kumpulan masyarakat sasar bagi menterjemah idea di atas kertas kepada pelaksanaan. 

Mengambil contoh pengkhususan peranan AII, saya berpandangan mungkin kewujudan think tank dengan peranan yang lebih spesifik akan menjadi objektif gerak kerja organisasi lebih berkesan, produktif dan menepati sasaran.  Selaras dengan penglibatan negara dalam komitmen antarabangsa Sustainable Development Goals (SDGs), peranan pihak luar kerajaan boleh diperkasakan untuk pembangunan negara, dengan syarat, terma rujukan lebih strategik disediakan oleh agensi kerajaan yang terlibat. 

Dua faedah besar boleh terhasil melalui pemerkasaan dan perekayasaan institut pemikir. Pertama, kolaborasi strategik dan bersasar menjana lebih banyak inovasi idea baharu yang lebih baik untuk negara. Kedua, kepakaran lambakan pemegang sijil PhD negara dapat dimanfaatkan dengan kewujudan lebih banyak institusi think tank bersifat pragmatik. 

Pengalaman latihan praktikal juga mengajar saya tentang pentingnya negara memanfaatkan kewujudan diaspora yang berada di negara luar sebagai aset untuk meningkatkan hubungan dua hala dengan negara yang terlibat. Boleh dimulakan dengan memberi penghargaan kepada diaspora yang berjaya mengukir nama. 

Sebagai contoh, Abdul Rahman Hashim atau Uncle Hashim dan Associate Professor Ramesh Balasubramaniam yang menerima anugerah OAM daripada kerajaan Australia pada tahun 2021.  

Di India, sekiranya diaspora mereka mendapat pengiktirafan sedemikian, kebarangkalian untuk mereka mendapat anugerah yang sama daripada negara asal juga tinggi.  Malah, terdapat akhbar tempatan di India yang akan berkongsi kisah kejayaan penerima OAM dengan rakyat mereka. Berkongsi kebanggaan dan memanfaat kepakaran mereka untuk kepentingan negara.  

Di sini, saya mendapat tahu bahawa pentingnya negara tanah air memanfaat pengorbanan dan jasa mereka di negara luar melalui pengiktirafan yang sama pada peringkat negara. 

Fahaman sedia ada bahawa warga negara yang berhijrah sebagai “brain drain” semata-mata wajar diolah kepada idea baharu sebagai “brain gain” atau modal sosial yang memberi manfaat. Peluang pekerjaan, perkongsian kepakaran mahupun pembangunan masyarakat dan kebajikan merentas sempadan.  

Talent Corp telahpun memulakan program “reconnect diaspora” pada tahun ini dan saya percaya dengan strategi bersasar, program sebegini boleh menghasilkan impak melangkaui jaringan diaspora semata-mata. 

Meja cultural diplomacy atau diplomasi budaya juga banyak mengajar saya tentang pentingnya pendidikan sivik kepada rakyat secara berterusan, tidak hanya di bangku sekolah. Pendidikan sivik yang didukung oleh pelbagai pihak termasuk ahli politik, sama ada formal atau tidak, dapat melahirkan masyarakat bertamadun yang saling mamahami dan menghormati budaya sesama sendiri. Berbekalkan konsep saling memahami dan menghormati, isu ketegangan sosial disebabkan perbezaan cara fikir boleh dihakis.

Pemerhatian saya tentang budaya kerja golongan profesional di Australia juga tidak jauh berbeza dengan rakyat Malaysia. Tiada jalan pintas melainkan kerja keras. Kerja melebihi masa kadang-kala merupakan keperluan apabila tidak cukup kapasiti. No pain, no gain. 

Cuma menariknya, fleksibiliti untuk bekerja sama ada di pejabat atau secara dalam talian masih diberikan. Saya melihat ketua di sini memantau perkembangan gerak kerja melalui mesyuarat berkala yang telah ditetapkan dan diadakan secara berdisiplin. 

Kepercayaan dan pemerkasaan (empowerment) diberi sepenuhnya kepada anak buah bagi meningkatkan kemahiran kepimpinan, rasa kebertanggungjawaban dan kepunyaan (sense of belonging) terhadap organisasi. 

Maklum balas atas talian dipastikan efektif dan mesyuarat tidak melebihi sejam yang ditetapkan. Masa amat berharga untuk kekal motivasi dan produktif. 

Kesimpulannya, saya mendapati pengalaman praktikal wajar direbut oleh semua pelajar sebagai asas persiapan sebelum digaji oleh mana-mana organisasi dalam bidang berkaitan bidang pengajian. 

Bagi isu latihan praktikal tidak berbayar, molek juga sekiranya pihak universiti di Malaysia mengambil contoh dasar latihan praktikal universiti di Australia. 

Di sini, pihak universiti menghadkan waktu latihan praktikal kepada 200 jam sahaja bagi  tempoh enam bulan dengan fleksibiliti masa bekerja tertakluk kepada rundingan antara pelajar dengan pihak majikan. 

Waktu praktikal boleh jadi sama ada dua hari setiap minggu selama enam bulan atau lima hari seminggu dengan tempoh tamat latihan yang lebih awal. Sepanjang tempoh latihan praktikal, pelajar juga dikehendaki menyediakan tiga kertas tugasan termasuk satu kertas kerja penyelidikan polisi bagi tujuan penilaian kefahaman.   

Meskipun masa latihan praktikal yang diperuntukkan adalah sedikit bawah dasar ini, pelajar masih mampu mengoptimumkan waktu tersebut untuk menimba pengalaman professional. Pada masa yang sama, pelajar juga boleh terlibat dengan pekerjaan lain bagi menampung kos sara hidup. 


SITI NURUL MUNAWIRAH MOHAMAD ROSLAN ialah mahasiswa sarjana dasar awam dan pengurusan Sekolah Sains Sosial dan Politik, Fakulti Seni, Universiti Melbourne, Australia. 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.