Kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke kononnya Prof P Ramasamy ‘tunggang DAP’ untuk jawatan adalah bukan sahaja biadab, tetapi menunjukkan keperibadian dirinya yang menjadi boneka si ‘emperor’ (maharaja). 

Apabila Ramasamy masuk bertanding pada tahun 2008, beliau diberi kerusi Batu Kawan. 

Batu Kawan pada masa itu ditandingi oleh Koh Tsu Koon, mantan ketua menteri Pulau Pinang.

Saya tahu, ramai pemimpin DAP tidak mahu bertanding di Batu Kawan pada masa itu, kerana takut kalah. 

Tetapi, Ramasamy sanggup meletak jawatan di Singapura dan berani bertanding di Batu Kawan. Pada saat-saa akhir, beliau diminta bertanding di kerusi DUN Perai.

Saya bersama Prof Ramasamy dari tahun 2008, dan saya tahu bagaimana beliau dapat menumpaskan BN di kerusi kuat MIC. 

Jangan lupa sumbangan beliau kepada parti kamu dan negeri Pulau Pinang. 

Beliau turun berkempen untuk parti kamu di seluruh negara, khususnya di kawasan-kawasan orang India yang pernah menjadi kubu kuat MIC sepanjang 15 tahun. 

Kini kamu sudah dikelilingi pemaju, datuk-datuk dan datuk seri, kamu cuba perlekehkan sumbangan beliau. 

Sebenarnya parti kamu yang menunggang pemimpin lantang bersuara seperti Ramasamy untuk mendapatkan sokongan dari masyarakat India, dan kini tunjuk belang sebenar kamu.

Anthony Loke tidak berani berdepan dengan si emperor yang cuba menjadikan parti dan negeri Pulau Pinang seperti harta persendirian dia. 

Anthony Loke

Hanya menjadi boneka kepada agenda si emperor, dan kini memperkecilkan seorang tokoh yang dihormati dan disegani oleh masyarakat India. 

Kami faham, dengan masuknya orang-orang baru dengan DNA MIC dalam parti kamu, kamu ingat masyarakat India tidak ada pilihan lain tetapi untuk menyokong parti kamu. 

Pemimpin atasan DAP seperti kamu, memang tak malu bertukar menjadi MIC 2.0. 

Tetapi, kami yang masuk parti kerana prinsip dan perjuangan tidak perlu kompromi pendirian kami untuk kedudukan politik, seperti kamu.

Kehendak satu orang

Anthony Loke cuba memberi gambaran seolah-olah mereka yang keluar parti kerana tidak berpuas hati dengan hala tuju, adalah tidak gembira kerana tidak dapat bertanding. 

Tetapi, itu bukanlah sebab sebenar; tetapi hala tuju parti yang sudah terpesong mengikut kehendak satu orang. 

Jangan cuba menafikan kenyataan yang sudah terang lagi bersuluh, di mana seorang pemimpin ingin menguasai parti dan negeri kami ikut suka hati dia. 

Kamu semua hanya menjadi boneka kepada dia. Tujuan dia berbuat demikian adalah untuk kepentingan dirinya; tetapi kamu tak berani halangnya; tetapi terus mempertahankan dia. 

Anthony Loke tak berani gugurkan Lim Guan Eng dari bertanding di DUN, walaupun terpalit dengan bermacam kontroversi. 

Sebaliknya, Anthony Loke memarahi mereka yang melawan si emperor.

Ramasamy sudah menyatakan secara jelas, kenapa dia bertindak keluar parti. Malah beliau pernah menasihati saya supaya jangan keluar parti apabila saya mahu bertanding bebas. 

Dua minggu selepas tempoh berkempen, rakyat Pulau Pinang secara amnya sedang melihat bagaimana DAP sudah menjadi MIC 2.0, khususnya di Perai dan Bagan Dalam. 

Beliau ingin menumpukan tenaganya untuk melawan sel kanser yang ingin melumpuhkan negeri kami. 

Beliau boleh terus berdiam diri, dan ambil Jawatan ataupun gelaran kebesaran selepas persaraannya. 

Tetapi, beliau pilih untuk bersuara, demi demokrasi di Pulau Pinang. 

Mustahil Anthony Loke faham akan pendirian itu, kerana kuasa dan jawatan sudah mengaburi mata orang seperti Anthony Loke.

Selagi Anthony Loke tak berani bersuara, bertindak terhadap si emperor, kita tidak boleh percaya kononnya pemimpin DAP ini adalah seorang pemimpin yang bebas dari kongkongan emperor dan dinasti dalam parti DAP.


SATEES MUNIANDY ialah calon logo ‘Pokok’ di Bagan Dalam. Dia juga mantan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan itu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.