Sempena hari kemerdekaan ke-66, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kerjasama pemimpin-pemimpin agama telah mengadakan Majlis Muhibah Merdeka.

Permuafakatan bersama 20 perwakilan dari pelbagai pertubuhan utama berasaskan agama dari kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam hadir dengan penuh kemesraan dan saling menghormati persaudaraan yang telah terbina sebagai satu keluarga Malaysia.

Majlis Muhibah Merdeka berjaya membuat perbincangan bersama para pemimpin agama untuk mencorak langkah bersama dan usaha terbaik yang boleh dilaksanakan bagi mengukuhkan keharmonian hidup bersama di negara kita. 

Pertemuan ini jelas membuktikan semangat persefahaman dan kerjasama yang utuh dari kalangan pemimpin agama di Malaysia demi membina keharmonian dan perpaduan di kalangan masyarakat berbilang agama dan kaum di negara ini. 

Dengan sokongan dan komitmen Jabatan Perdana Menteri, perbincangan dua hala ini akan memperkasakan program dialog antara tamadun sebagai pendekatan bagi memperkukuhkan keharmonian hidup beragama di kalangan masyarakat Malaysia.

Pelbagai aktiviti boleh dilaksana bagi mewujudkan persefahaman menerusi pelaksanaan seminar, penerangan dan penerbitan. 

Satu inisiatif untuk mengaktifkan Jawatankuasa Keharmornian Antara Penganut Agama (Harmoni) yang akan dipengerusikan bersama oleh menteri perpaduan negara dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan berfungsi sebagai badan perundingan rasmi para pemimpin agama utama bagi memberikan input terbaik dan mencadangkan program bagi memperkukuhkan persefahaman antara semua lapisan dan golongan masyarakat.


GUNARAJ GEORGE ialah anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.