SURAT | Malaysia, sejauh ini kita bertahan
Tanggal 16 September 1963 tarikh keramat buat watan. Jalur gemilang dipasak utuh sekali. Melodi tanah air alunannya lunak lunakan. Karikatur pejuang bangsa diperingati. Tuanku dihormati.
Agamaku disanjung tinggi. Manuskrip suci 183 perkara diluhuri. Tunas rahmah semakin mekar, ihsan manusia terus membakar. Kemajuan pula tidaklah pudar, kemahasiswaan kian menyinar. Alhamdulillah.
Malaysia? Hebat sungguh. Bukan calang calang figuranya. Puluhan peristiwa ia tempuhi, ratusan mimpi buruk ia atasi.
Sebelum pembentukan
Semasa Malaysia mahu dibentuk, ia mendapat tentangan dari negara luar. Indonesia misalnya melancarkan kempen ‘Ganyang Malaysia’ tanda protes. Celik akal orang Melayu, memilih Rundingan Bangkok sebagai jalan penyelesaian.
Itulah orang Melayu, tidak sekuat pahlawan Monggol, tidak sehebat bangsa Roma, tidak pula sekaya pak Arab. Namun akalnya luar biasa. Tidak hairanlah mengapa kancil begitu digemari sekali oleh anak anak.
Filipina pula mahu Sabah dan Sarawak menyertai mereka. Berlaku perebutan kekasih antara si harimau dan si kerbau. Suruhanjaya Cobolt datang merisik kekasih ini, “siapakah pemilik hati?”. Tanpa segan, tanpa silu, lantas dijawab “Malaysia”. Terima kasih Sabah dan Serawak.
Alahai, belum lahir lagi sudah diuji.
Selepas pembentukan
Selepas Malaysia dibentuk pelbagai cabaran muncul ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Pengunduran Singapura dari Malaysia amat memilukan. Manakan tidaknya, bukankah Singapura itu tempat Leftenan Adnan bertahan dengan sisa hayatnya.
Jika ditanya soal Adnan Saidi kepada rakyat singapura tentu mereka tidak tahu. Ini Malaysia, ia tidak berdendam. Semoga Singapura kekal maju, kekal sejahtera. Biarpun kalian lupa, akan kami peringatkan. Lagenda Adnan Saidi, wira aku dan wira kamu.
Sudah diuji dengan pemergian Singapura kini Malaysia menghadapi malapetaka buruk yang disebut sebagai peristiwa 13 Mei. Rusuhan kaum terburuk yang berlaku itu mengorbankan ratusan nyawa.
Kerosakan yang dibawa juga luar biasa. Semuanya berlaku kerana persepsi orang Melayu dan orang Cina yang saling bersangka buruk antara satu sama lain. Darurat diisytiharkan untuk mengawal keadaan. Sungguh ngeri!
Demi mengelakkan kejadian yang sama berulang, Rukun Negara dibentuk sebagai asas kepada identiti bangsa Malaysia. Dasar Ekonomi Baharu (DEB) juga diperkenalkan bagi mengimbangi kedudukan sosioekonomi masyarakat yang berbilang bangsa ini.
Malapetaka buruk kini hanyalah kisah semalam. Kisah lama kekal dalam ingatan, pengajaran diambil menjadi tauladan.
Malaysia kini digelar negara membangun, hasil usaha bapa pemodenan kita Mahathir Mohamad. Saya mendoakan kesihatan beliau. Kisah rampasan saham kelapa sawit Dawn Raid yang diketuai oleh allahyarham Khalid Ibrahim adalah satu dari seribu kejayaan ekonomi Malaysia.
Krisis Kewangan Asia 1997 merupakan situasi cemas negara. Mata wang ringgit yang pada awalnya bernilai sekitar RM2.50 berbanding dolar Amerika Syarikat (USD) kini jatuh menjunam kepada RM4.50 berbanding USD.
Puluhan bilion dibelanjakan agar syarikat nasional diselamatkan. Akhirnya, muncul seorang adiwira, Anwar Ibrahim hadir memandu Malaysia keluar dari krisis ini.
Beliau kini menjadi perdana menteri. Tahniah saudara. Terima kasih!
Tanggal 1 Jan 2000, Malaysia menjejakkan kaki ke alaf yang baharu. Alaf baharu masalah pun baharu. Dunia dikejutkan dengan kes penyelewengan terbesar dalam sejarah iaitu 1MDB.Pembongkaran penyelewengan 1MDB ini sekali gus menamatkan era kegemilangan parti keramat rakyat (Umno) lantas mencetuskan pergolakan politik negara.
Penyelewengan 1MDB ini diceritakan dalam buku bertajuk Billion Dollar Whale. Jasa figura Najib Abdul Razak ini saya ingati, namun salah tetap salah. Pesalah perlu dihukum.
Virus Covid-19 mengancam dunia secara total. Malaysia tidak terkecuali. Jutaan nyawa terkorban, ribuan perniagaan ditutup, ribuan pekerja dibuang.
Detik cemas ini menampilkan Malaysia sebagai negara yang terkehadapan dalam sektor kesihatan.
Walaupun terdapat pelbagai isu pada ketika itu seperti Hartal Doktor, Bendera Putih, Langkah Sheraton, ketirisan data (MySejahtera) dan ratusan lainnya. Namun semuanya telah tamat.
Malaysiaku
Inilah Malaysia, pelbagai cabaran ia hadapi, jutaan rintangan ia harungi. Tidak ada sedetik pun situasi mengalah dalam sejarah Malaysia. Biar dipukul ombak ia kekal berdiri. Digoncang hebat ranting kayu jadi pautan. Terjatuh sungkur itu perkara biasa. Asalkan kita mendaki semula, semuanya pasti baik baik saja.
Pada masa hadapan, Malaysia pasti akan menghadapi cabaran yang serupa seperti diatas. Krisis kewangan? Mungkin. Rusuhan kaum? Mungkin. Virus baru? Mungkin. Aku tidak tahu, aku tidak Pasti. Namun Aku yakin, Malaysia mampu mengharungi cabaran mendatang. Kekal utuh kekal kuat wahai Malaysia!
Aku akan bersama kamu dalam cabaran cabaran mendatang. Malaysia, tanah tumpahnya darah, peluh dan air mata.
Terima Kasih Malaysia kerana bertahan sejauh ini.
IMAN HAZIM KAMARUDIN ialah seorang aktivis mahasiswa.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/1c750887add0c0bf87103135c7b357dc.jpg)
