Semangat didukung setiap rakyat Malaysia untuk berjuang adalah demi keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran negara. Hari Pahlawan juga merupakan satu hari khusus untuk memperingati jasa angkatan bersenjata yang berbakti mempertahankan Malaysia.
Kadang kala kita leka dengan nikmat kebebasan di tanah air sehingga lupa untuk menginsafi pengorbanan yang dilakukan oleh generasi sebelum ini. Benih nasionalisme dan patriotisme yang sudah disemai sejak kemerdekaan tidak dapat tumbuh secara subur apabila identiti nasional dipersoalkan.
Rasa kebersamaan adalah elemen penting yang perlu wujud untuk membina sebuah masyarakat bersifat inklusif. Setiap kepelbagaian harus diraikan dengan meyakinkan anak-anak kita bahawa Malaysia adalah untuk semua tanpa prejudis. Lapisan sosioekonomi berbeza harus dikuatkan dengan penerapan hak saksama demi memartabatkan yang lemah.
Sejarah dapat mengajar kita untuk memahami bagaimana perbezaan fahaman dan budaya ‘kenegerian’ ketika zaman pentadbiran negeri-negeri tidak bersekutu, negeri-negeri bersekutu dan negeri-negeri selat. Sumber kekayaan negara mampu menampung setiap lapisan masyarakat secara adil melalui sistem politik dan pentadbiran yang berteraskan kesederhanaan.
Himpunan pembebasan Palestin pada Ahad lalu dengan membawa mesej jelas Malaysia menyelar pembunuhan Ismail Haniyeh dan kezaliman berterusan pihak Israel. Penghargaan buat Haniyeh yang telah memberikan keluarga, nyawa dan jiwanya dalam perjuangan untuk kebebasan, keamanan serta keadilan ke arah merealisasikan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka.
Tanamkan sifat keinsafan dalam mengenang jasa dan pengorbanan pahlawan di negara kita tanpa mengira bangsa dan agama.
Tunjukkan amalan yang membawa keberkatan dan memberi keyakinan kepada generasi akan datang bahawa Malaysia tidak akan bertoleransi dengan sebarang kezaliman dan kedayusan puak yang suka memecahbelahkan masyarakat demi kepentingan diri.
Aidi Amin Yazid adalah pengerusi Pertubuhan Jaringan Insan Madani.
Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
