SURAT | Kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, baru-baru ini sudah tentu mengguris hati ahli akar umbi Bersatu.
Mana tidaknya, kenyataan itu sebenarnya agak 'nakal' dan mengejutkan ramai, sekali gus mengundang tanda tanya: sejak bila PAS menjadi ibarat 'kakak' kepada Bersatu yang bertindak sebagai 'adik' dalam gabungan Perikatan Nasional PN?
Bahasa mudah dalam masyarakat hari ini ialah, apabila seseorang atau sesuatu kumpulan dilabel sebagai, ia menggambarkan pihak berkenaan mengalami kekurangan pengalaman, orang baru, muda, mentah atau mungkin dengan bahasa lebih keras - hingusan.
Adakah itu pandangan terkini PAS terhadap Bersatu, atau sebenarnya 'rasa' tersebut sudah lama disimpan mereka dalam diam-diam demi menjaga hati rakan-rakan yang lain?
Mari kita lihat suatu kisah fantasi di sebuah kampung yang terletak di kawasan pedalaman negeri bernama Serambi.
Seorang kakak sentiasa memantau adiknya kerana si adik ada tabiat suka mengigau pada waktu malam. Jika mengigau, si adik biasanya akan melompat-lompat dengan agresif, malah boleh melarat hingga ke kawasan luar rumah.
Sebagai adik yang muda dan hingusan, sudah tentu amat bahaya berada di luar rumah pada waktu malam. Keadaan itulah yang menyebabkan si kakak sentiasa tidak cukup tidur.
Gejala itu berterusan sehingga si kakak beranak-pinak. Demi kasih seorang kakak, dia menyerahkan salah seorang anak lelakinya untuk membantu si adik sama ada di rumah atau ketika di ladang.
Pada masa sama, si adik berdepan dengan sedikit masalah rumah tangga. Keluarganya tidak memiliki anak lelaki - atau dalam bahasa basahan: tiada anak jantan.
Demikianlah hidup dua beradik itu yang selalu dibayangi oleh masalah antara satu sama lain.
Dalam konteks semasa pula, orang ramai boleh bertanya: jika Bersatu laksana seorang adik, bagaimana pula status satu lagi parti dalam PN iaitu Gerakan?
Adakah Gerakan sekadar adik tiri?
TAN YUSOF ialah pembaca Malaysiakini yang mengikuti rapat perkembangan PRK Sungai Bakap.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
