Saya sentiasa menghormati keputusan mahkamah dan undang-undang dalam negara tercinta kita.
Tapi komik Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama mempromosikan ideologi komunis secara terang-terangan dan cuba mengubah sejarah bangsa apabila mengangkat komunis sebahagian dari pejuang kemerdekaan Tanah Melayu.
Saya 100 peratus tidak setuju apa yang ditulis dalam buku tersebut.
Saya secara terbuka tidak setuju apabila keputusan sebelum ini iaitu warta keputusan pengharaman komik tersebut untuk tidak diedarkan kepada sekolah-sekolah telah dibatalkan.
Saya harap kepimpinan negara terutama Kementerian Dalam Negeri (KDN) melihat perkara ini secara mendalam kembali agar buku ini terus diwartakan Haram untuk apa jua edaran kerana ia boleh mendatangkan kekeliruan pada generasi muda dan akan datang.

Jangan kita cuba ubah sejarah kemerdekaan negara kita sejak dahulu hingga kini. Jangan kita lupa pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan kita.
Jangan kita lupa jasa askar, polis dan anggota badan-badan beruniform yang bertungkus lumus lawan komunis di zaman darurat.
Keluarga saya terkesan dalam darurat. Arwah tok saya dibunuh dengan kejam oleh pihak komunis.
Saya yakin beribu lagi keluarga yang terkesan dengan kekejaman komunis.
Bagaimana mungkin kita nak tukar sejarah untuk mengangkat mereka sebagai pejuang negara?
Apa kata anda sebagai rakyat Malaysia? Setuju atau tidak?
SENATOR ARMAND AZHA ABU HANIFAH ialah ketua Umno bahagian Subang.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
