Pengendalian pilihanraya kampus mengecewakan
Gamis melahirkan kekecewaan mendalam terhadap kelemahan pihak universiti-universiti dalam menggendalikan pilihanraya kampus (PRK) pada kali ini. Kekecewaan ini lahir ekoran beberapa kes pencabulan hak-hak dan keselamatan mahasiswa menjelang PRK.
Suatu yang amat mengecewakan ialah belum pun pilihanraya bermula, sudah berlaku kes-kes seperti rampasan komputer bimbit mahasiswa oleh Unit Tindakan Khas (UTK) keselamatan UPM, penggeledahan bilik oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UPM dan pencurahan cat keatas motosikal ahli exco Persatuan Mahasiswa Islam UPM. Dari sumber yang boleh dipercayai, boleh dikatakan semua perkara ini telah dicaturkan oleh kumpulan 'Aspirasi' yang semakin terdesak untuk memenangi PRK kali ini.
Pencabulan hak-hak mahasiswa ini menyebabkan mahasiswa merasakan keselamatan mereka semakin terancam dan ketenteraman suasana pembelajaran jelas terganggu. Cuba kita bayangkan apabila pelajar tahun satu, masih baru di universiti tetapi terbantut dan terganggu emosinya apabila dirampas komputer bimbitnya. Gamis mendapat makluman bahawa ibu bapa pelajar terbabit cukup berang dengan tindakan tidak profesional oleh pegawai UPM itu.
Gamis cukup kesal melihat situasi rampasan komputer bimbit ini oleh pegawai keselamtan UPM. Ia boleh menyebabkan mahasiswa hilang rasa kepercayaan kepada pasukan keselamatan UPM. Paling malang ialah ahli dan exco Persatuan Mahasiswa Islam UPM yang mana motosikal mereka telah disimbah cat dan dikunci. Gamis mengutuk tindakan yang tidak bermoral ini yang dilakukan oleh kumpulan 'Aspirasi'.
Gamis menyeru agar kumpulan 'Aspirasi' walaupun terdesak macamana sekalipun, hormatilah bulan Ramadhan bulan mulia umat Islam. Bulan Ramadhan bulan umat Islam berbaik-baik dan meningkatkan amal. Tidak sepatutnya dicemari dengan penaburan fitnah dan perbuatan khianat. Gamis turut mendapat maklumat bahawa kumpulan 'Aspirasi' mendapat sokongan penuh daripada Timbalan Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajar (TNCHEP) dan Bahagian Hal Ehwal Mahasiswa (BHEM).
Penglibatan secara langsung TNCHEP dan BHEM dalam mencaturkan kemenangan kumpulan 'Aspirasi' dalam pilihanraya kampus membuktikan bahawa pilihanraya kampus sedang dicemari dan dikotori. Gerakan mahasiswa telah cuba sedaya upaya mengusahakan agar pilihanraya kampus kali ini dikendalikan dengan adil dan bersih daripada penyerahan memorandum kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sehinggalah kepada Nazri Abdul Aziz, Pengerusi Kaukus Parlimen. Namun pencabulan tetap juga berlaku.
Justeru ini, pihak Gamis menyeru agar Menteri Pengajian Tinggi, ahli-ahli parlimen dan pengurusan universiti untuk bukalah mata. Ambillah tindakan pembaikan segera sebelum keadaan bertambah parah. Mahasiswa juga rakyat Malaysia yang dilindungi perlembagaan negara. Jangan terus dibiarkan kebebasan mahasiswa beraktivisme dihalang sesuka hati dan keselamatan mahasiswa tergugat kesan daripada sikap angkuh sesetengah pihak.
Penulis adalah timbalan pengerusi, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis).

