SURAT | Kenapa kerajaan negeri tak uruskan bazar Ramadan?
SURAT | Merujuk kepadaa penjelasan Zamakhshari Muhamad pada 9 Feb 2025 mengenai pengurusan Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV bagi tahun ini, nampaknya exco berkenaan terburu-buru.
Apabila pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Kelantan mengumumkan tidak akan menguruskan bazar Ramadan di tapak tersebut pada tahun ini dengan tarikh kurang 40 hari sebelum Ramadan, ia memberi gambaran Perbadanan Stadium Kelantan tidak mempunyai perancangan awal.
Apatah lagi sehari selepas pengumuman Fama Kelantan, syarikat Tun Event Management terus menghantar permohonan untuk menguruskan bazar Ramadan di kawasan stadium tersebut.
Persoalannya, bilakah syarikat tersebut membuat pembentangan pelan pelaksanaan bazar Ramadan kepada pihak Perbadanan Stadium Kelantan?
Kenapa kerajaan Kelantan yang mempunyai pelbagai agensi dan anak syarikat tidak menguruskan perniagaan yang memberi pulangan terus kepada negeri?
Di manakah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) atau pelbagai entiti di bawah kerajaan negeri yang boleh digerakkan secara bersama bagi menjayakan Bazar Ramadan Stadium Kota Bharu?
Sekiranya agensi kerajaan negeri menguruskannya sendiri, ia mampu mengurangkan kos dan mampu menawarkan harga sewaan tapak yang munasabah sebagai ruang untuk peniaga tempatan mencari rezeki sepanjang Ramadan ini.
Jika dibandingkan dengan tapak bazar Ramadan di negeri lain – misalnya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) – mereka mengumumkan permohonan seawal 21 Nov 2024.
Jika perbandingan ini diambil kira, maka jelaslah Perbadanan Stadium Kelantan gagal dalam membuat perancangan mereka sendiri lebih awal.
Kerajaan Kelantan khususnya pengurusan tertinggi Perbadanan Stadium Kelantan perlu menjawab persoalan di atas serta memberi penjelasan, apa komitmen mereka untuk perancangan pada Ramadan 2026 bagi mengelak peristiwa sama berlaku.
NIZAM MUHAMAD ialah penyelaras Azam Kelantan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/02/ec3b57596a60ed693292178defab2215.jpg)
