SURAT | Apa wajah DAP selepas pemilihan nanti?
SURAT | DAP pada pandangan umum orang Melayu ialah satu watak politik yang wajib dijauhi. Namun persoalannya, adakah DAP sendiri ingin mengekalkan imej begitu pada pandangan orang Melayu?
Tidak lama lagi, DAP akan melalui proses pemilihan untuk jawatankuasa tertinggi dalam parti berkenaan, iaitu jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) seramai 30 orang.
Pemilihan CEC inj penting dalam menentukan hala tuju politik DAP di Malaysia, khususnya melibatkan sokongan orang Melayu.
Data pilihan raya umum telah menunjukkan, parti politik yang bekerjasama dengan DAP akan mengalami penyusutan sokongan dalam kalangan orang Melayu.
Dalam pemilihan CEC tiga tahun lalu, tiada seorang pun tokoh Melayu yang terpilih kecuali Young Shefura Othman (Rara). Rara sendiri sebenarnya tidak tersenarai dalam kedudukan 30 teratas, tetapi namanya masuk bagi memenuhi kuota 30 peratus yang dikhususkan untuk wanita.
Dalam DAP sekarang, terdapat sekurang-kurangnya tiga pemimpin muda Melayu yang akan bertanding dalam pemilihan CEC iaitu Rara, Syahredzan Johan dan Sheikh Umar Bagharib Ali.
Jika kesemuanya terpilih sekalipun, ia hanyalah mewakili 10 peratus daripada keseluruhan CEC yang dipilih.
Dalam keterbukaan Anthony Loke menerajui DAP serta memperlihatkan parti itu yang lebih moderat di era Madani, mampukah ahli akar umbi mempamerkan keterbukaan yang sama bagi mengangkat pemimpin Melayu?
Adakah benar DAP akan membuka ruang agar pemimpin Melayu sama-sama menerajui parti menerusi CEC atau ia sekadar menjadi poster boy?
Persoalan itu akan ditentukan oleh akar umbi DAP dalam pemilihan 16 Mac nanti.
ABDUL MUQIT MUHAMMAD ialah penganalisis politik dari Universiti Malaya.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/03/8fbffd8357b7be7ffd82d65911b1fddc.jpg)
