Saya menulis untuk membalas surat saudara Mohd Hasbie Muda PTPTN: Tiga tuntutan utama mahasiswa . Sebagai seorang bekas peminjam PTPTN, saya tidak faham dengan tuntutan saudara. Kadar faedah yang dikenakan PTPTN sudah teramat rendah.

Jika saudara membuat pinjaman kereta atau rumah, kadar faedahnya hampir berganda. Saudara berkata kadar faedah yang dikenakan PTPTN selama 10 tahun berjumlah RM3,500. Sebenarnya, ini tidak sampai RM30 sebulan.

Adakah sebagai mahasiswa begitu sukar untuk membayar RM30 sebulan sebagai tanda terima kasih kepada kerajaan yang telah berbesar hati meminjamkan RM28,000 kepada saudara untuk kursus selama empat tahun?

Sebagai mahasiswa, bukankah tanggungjawab saudara untuk melangsaikan pinjaman mengikut tempoh yang ditetapkan? Persamaan dengan pinjaman Along adalah sangat tidak tepat. Kadar faedah dari Along hampir 20 peratus!

Saudara, tidakkah tempoh enam bulan yang diberikan kerajaan sangat bersesuaian? Sebagai contoh, saya telah mencari pekerjaan sebelum saya menamatkan pengajian lagi. Adalah tanggungjawab saudara untuk memikirkan bagaimana hendak menangani isu kewangan ini.

Tambahan pula, tuntutan saudara bahawa semua pelajar dengan ijazah kelas kedua tinggi diberi biasiswa, adalah tuntutan yang langsung tidak munasabah.

Saya rasa semua orangpun tahu bahawa ijazah kelas pertama dari universiti tempatan sekalipun, tidak dipandang tinggi oleh mana-mana syarikat. Apa yang penting ialah "survival skill" anda di alam pekerjaan dan inisiatif anda sendiri.

Dan tanggapan bahawa kerajaan kita kaya? Saya bersetuju dengan pendapat ini. Kalau tidak, dari mana kerajaan ada duit untuk hantar angkasawan ke bulan dan beli senjata berbilion-bilion ringgit. Jadi jangan bimbang, mungkin kerajaan akan mempertimbangkan tuntutan saudara.