PMIUPM sokong caj PTPTN dimansuhkan
Dalam laporan akhbar, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa kerajaan sedia meneliti caj pentadbiran yang dikenakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika ia terbukti menimbulkan kesusahan kepada peminjam.
Sebelum ini Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas mendesak supaya caj pentadbiran PTPTN dimansuhkan.
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM) menyokong penuh hasrat Perdana Menteri kita untuk mengkaji semula caj pentadbiran ke atas peminjam PTPTN.
Penelitian semula terhadap caj yang dikenakan terhadap peminjam PTPTN amat wajar sekali memandangkan telah banyak sekali keluhan peminjam terhadap bebanan caj pentadbiran itu.
Sebelum ini, Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia (GAMIS) yang mewakili seluruh suara mahasiswa Islam Se Malaysia turut menggesa perkara yang sama untuk dilaksanakan.
Rakyat jelas berasa terbeban dengan caj yang dikenakan itu. Hal ini jelas dapat dibaca dalam ruangan forum dan surat pembaca dalam akhbar arus perdana mengenai rungutan orang ramai yang tidak puas hati dengan tindakan PTPTN mengenakan caj pentadbiran itu.
PMIUPM sependapat dengan Datuk Kayveas bahawa memandangkan PTPTN adalah dana pusingan, maka kerajaan patut memansuhkan caj pentadbiran.
Sewajarnya, insentif pendidikan itu diberikan bagi memberi keselesaan, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah yang semakin dihimpit kerana kos hidup yang semakin meningkat.
PTPTN mengenakan caj pentadbiran sebanyak tiga peratus setiap tahun ke atas peminjam. Tindakan memansuhkan caj pentadbiran PTPTN mampu menonjolkan sebuah kerajaan yang peka terhadap kebajikan dan kesusahan rakyat.
PMIUPM turut mengesyorkan agar Perbadanan PTPTN mengkaji segenap skop dalam memberi keselesaan kepada peminjam, terutamanya peminjam yang baru tamat pengajian.
Kita sedia maklum bahawa ramai juga mahasiswa yang baru menghabiskan pengajian, mengambil masa untuk mendapatkan pekerjaan.
Justeru, bebanan mereka perlu diringankan dengan memansuhkan caj pentadbiran yang jelas sekali membebankan peminjam PTPTN.
Penulis adalah Exco Penerbitan dan Publisiti Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM)

