Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT l Nyawa ahli FRU terlalu mahal untuk cuai - Bersatu desak siasatan telus

SURAT l Saya merakamkan ucapan takziah dan simpati mendalam kepada keluarga anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam insiden kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Kehilangan nyawa anggota keselamatan merupakan satu tragedi besar yang tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi sekiranya berpunca daripada kegagalan asas dalam aspek keselamatan dan pengurusan dalaman.

Tular di media sosial rakaman video dipercayai dimuat naik oleh salah seorang mangsa sebelum kemalangan berlaku.

Rakaman tersebut memperlihatkan keadaan anggota berada dalam trak tanpa sebarang ciri keselamatan yang sewajarnya. Sekiranya sahih, rakaman ini menimbulkan persoalan besar mengenai pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh pihak pengurusan logistik PDRM.

Saya ingin mengingatkan bahawa ini bukan insiden pertama. Tragedi di Lebuhraya Karak pada tahun 2022 yang melibatkan trak Pasukan Gerakan Am (PGA) turut menimbulkan isu keselamatan yang sama. Sudah tiba masanya kita hentikan sikap sambil lewa terhadap nyawa dan kebajikan anggota sendiri.

Saya tidak mengeluarkan kenyataan ini untuk mencari kesalahan atau menuding jari. Namun sebagai rakyat dan pemimpin politik yang bertanggungjawab, saya perlu bersuara apabila nyawa anggota dipertaruhkan atas kelemahan yang boleh dielakkan.

Kematian anggota terlalu mahal untuk dibiarkan tanpa sebarang tindakan. Maka saya menyeru agar:

1. Ketua Polis Negara segera melancarkan siasatan dalaman telus dan profesional bagi memastikan sama ada aspek SOP dan keselamatan telah diabaikan.

2. Kementerian Dalam Negeri (KDN) menilai semula keseluruhan sistem pengangkutan anggota keselamatan agar setara dengan keperluan semasa.

3. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan audit teknikal terhadap semua kenderaan PDRM yang digunakan untuk mengangkut anggota.

4. Tindakan dan hukuman tegas mesti diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati lalai – tanpa mengira pangkat, jawatan atau kedudukan.

Ini bukan masa untuk menutup kelemahan, tetapi masa untuk memperbaikinya secara menyeluruh. Rakyat sedang menunggu dan memerhati. Kita tidak boleh benarkan insiden seumpama ini terus berulang tanpa pembelaan dan pembaharuan.

Keselamatan anggota adalah tanggungjawab bersama. Ia bukan pilihan, tetapi keperluan wajib yang mesti dijamin oleh pihak atasan.


HISHAMUDDIN ABDUL KARIM adalah ketua Bahagian Bersatu Kota Melaka.

Surat ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS