Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | 90 peratus emoji ketawa, Anwar patut rasa malu

Merujuk satu artikel diterbitkan dalam Facebook laman Malaysiakini BM bertajuk “tiada yang berani seperti Azam Baki, kata Anwar Ibrahim” pada Jumaat lepas ketika berucap merasmikan Kongres Nasional PKR di Johor Bahru.

Artikel tersebut memperoleh 7,200 “likes” dan 2,200 komen di dalam laman Malaysiakini BM, namun sebanyak 6,500 iaitu melebihi 90 peratus pengguna media sosial telah meninggalkan reaksi emoji ketawa kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berhubung kenyataannya yang lucu.

Hanya 651 iaitu kurang daripada 10 peratus pengguna media sosial yang memberikan emoji “Thumbs-up” berhubung artikel tersebut, bakinya adalah emoji ketawa.

Kejadian ini sangat jelas menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia menolak perbuatan dan perkataannya, adakah Anwar Ibrahim berasa malu dan segan dengan apa yang beliau lakukan?

Daripada kejadian ini, kita dapat melihat majoriti besar rakyat Malaysia telah menyatakan secara jelas bahawa tidak lagi percaya kepada Anwar Ibrahim, beliau telah mengecewakan rakyat Malaysia berkali-kali sejak menjadi Perdana Menteri.

Anwar Ibrahim berkata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dilanjutkan kontrak kerana beliau berani bertindak terhadap golongan elit dan berprofil tinggi. Oleh yang demikian, saya ingin bertanya kepada Anwar Ibrahim berhubung tindakan dan siasatan SPRM bagi skandal rasuah lesen penerokaan mineral di Sabah yang melibatkan Ketua Menteri, Speaker DUN dan 8 Adun daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS)?

Jika Azam Baki berani bertindak seperti yang dikatakan oleh Anwar Ibrahim, kenapa tidak tangkap dan tuduh orang-orang besar yang terlibat rasuah di Sabah ke mahkamah?

Skandal rasuah tersebut didedahkan oleh seorang pemberi maklumat sejak bulan November tahun lepas dengan menampilkan rakaman video, jejak wang, jejak dokumen, dan rekod komunikasi WhatsApp untuk mengesahkan elemen kegiatan rasuah, kenapa tiada tindakan daripada Azam Baki selama 7 bulan? Kenapa kes ini hilang keberanian beliau?

Orang ramai tertanya-tanya berkenaan keberanian Azam Baki yang diiktiraf oleh Anwar Ibrahim adakah keberanian terpilih? Keberanian itu hanya digunapakai terhadap individu terpilih atau mengikut arahan Perdana Menteri?

Justeru itu, tidak hairanlah Anwar Ibrahim memuji keberanian Azam Baki secara terbuka walaupun dikutuk oleh majoriti besar rakyat Malaysia gara-gara untuk menyimpan senjatanya. Sekian, terima kasih.


DUNCAN CHENG ialah President of Sabah Entitlement and Equity Now.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS