Kementerian Pelajaran punca masalah tuisyen
Saya ingin memberi komen terhadap isu tuisyen pelajar yang digembar-gemburkan pada hari ini. Kementerian Pelajaran seolah-olah menuding jari terhadap operator pusat tuisyen dan guru-guru yang mengajar di kelas kelas tuisyen. Mesej utama surat saya ini adalah Kementerian Pelajaran patut melihat masalah tuisyen ini secara lebih luas dan permasalahan utamanya datang dari kementerian sendiri dan bukan pihak lain.
Secara umumnya, siapakah yang hendak berbelanja beratus-ratus ringgit dan membuang berpuluh puluh jam menghantar anak ke tempat tuisyen? Tetapi realitinya, hampir kesemua ibubapa yang berkemampuan kewangannya terpaksa menghantar anak ke tuisyen atas beberapa sebab seperti tersenarai di bawah:
Pertama, bukankah Kementerian Pelajaran yang meluluskan nisbah sehingga 1:40 untuk satu kelas? Di negara seperti England, anak-anak belajar dalam kelas bernisbah 1:20 sahaja. Bagaimanakah seorang guru boleh memberi tumpuan kepada 40 orang pelajar?
Kedua, bukankah Kementerian Pelajaran sedia maklum bahawa, jika terdapat kelas tambahan, maka nisbah guru-pelajar tidak dikurangkan? Sepatutnya sistem tutorial digunakan di mana kelas dipecah kepada 10 hingga 15 pelajar setiap kelas. Di negara maju, mereka menggunakan khidmat pembantu pengajar. Oleh itu, ibubapa tiada pilihan lain tetapi terpaksa menghantar anak ke tempat tuisyen.
Ketiga, bukankah Kementerian Pelajaran sedia maklum bahawa ramai guru yang dihantar mengikuti kursus dan juga menghadiri raptai hari Kemerdekaan selama beberapa hari dan tiada terdapat guru pengganti untuk anak-anak kita?
Sebagai seorang bapa kepada lima orang anak, saya cukup berpengalaman dengan kes-kes sedemikian, hasil dari temubual saya dengan anak-anak sendiri dan rakan-rakan.
Keempat, bukankah Kementerian Pelajaran sendiri yang membudayakan penekanan terhadap peperiksaan? Di England, anakanak yang pergi sekolah 'kampung' atau sekolah biasa, tidak tertekan langsung kerana tiada peperiksaan. Setiap pelajar mempunyai fail hasil kerja dalam kelas yang ditunjukkan kepada ibu bapa dalam setiap pertemuan.
Akhir sekali, saya ingin memberitahu bahawa, jika saya tidak 'duduk bersama' anak lelaki saya sewaktu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dahulu selama tiga bulan berturut-turut, dia berkemungkinan gagal hampir kesemua pelajaranya. Setelah berkampung dengannya, dia akhirnya meraih 3B dan 2C.
Sekarang, anak saya ini akan mengambil Peperiksaan Sekolah Rendah (PMR). Saya terpaksa menghantarnya ke kelas tuisyen untuk subjek Sains sebab saya sudah 'mati akal' untuk mengajar subjek tersebut. Yang peliknya anak saya dapat A dalam Bahasa Inggeris tetapi gagal dalam pelajaran Sains yang diajar dalam bahasa tersebut.
Saya berpendapat, anak saya perlu tumpuan yang lebih baik dan kelas tuisyennya bernisbah 1:7 dan kini dia mampu mengikuti pelajaran tersebut.
Masalah tuisyen perlu dilihat secara keseluruhannya dari perspektif keupayaan kementerian dengan tenaga pengajarnya serta juga falsafah baru mendidik anak-anak yang harus difikirkan semula.
Kalau masalah nisbah pelajar, skim gaji guru dan penggunaan pembantu pengajar serta guru pengganti dapat dilaksanakan, kami ibubapa tak ingin langsung untuk menghantar anak-anak ke kelas tuisyen.

