Paling Popular
Terkini

Lebih kurang jam 10.30 pagi, Rabu 23 Julai, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan pengumuman yang menyentuh hati rakyat, satu penghargaan dan keprihatinan tulus daripada kerajaan kepada seluruh rakyat yang terus tabah menghadapi cabaran kos sara hidup.

Antara inti pati paling penting yang diumumkan ialah:

- Peningkatan Peruntukan Program Jualan Rahmah Madani (PJRJM) kepada RM600 juta dan peluasan pelaksanaannya ke lebih 500 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

- Pemberian nilai RM100 Sumbangan Asas Rahmah (Sara) secara sekali bayar kepada semua warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas, merangkumi belia, pelajar IPT, pekerja muda serta rakyat dewasa daripada pelbagai latar belakang.

Ini bukan sekadar angka atau bantuan bersasar bahkan ia adalah manifestasi kasih sayang, empati dan rasa tanggungjawab kerajaan Madani terhadap kesejahteraan rakyat, tanpa mengira latar sosioekonomi.

Cetusan kepimpinan dan naratif kemanusiaan

Tiada ungkapan lebih layak diucapkan selain alhamdulillah dan terima kasih yang tidak terhingga kepada perdana menteri, yang sentiasa mengutamakan rakyat terbanyak, khususnya golongan rentan dan berpendapatan rendah.

Program Jualan Rahmah Madani ini pada asalnya adalah cetus idea murni allahyarham Salahuddin Ayub, yang semasa hayatnya memperjuangkan nasib marhaen.

Bawah kepimpinan perdana menteri, program ini diperkasakan dari RM100 juta, ke RM300 juta, dan kini mencecah RM600 juta, serta diperluaskan ke seluruh pelusuk negara termasuk melalui PJRM bergerak.

Pelaksanaan PJRM secara bergerak pula membolehkan rakyat di kawasan pedalaman dan desa turut merasai manfaatnya. Kini, program ini merentasi 222 kawasan parlimen, lebih 500 DUN dan 40 zon di Wilayah Persekutuan. Ia satu pelaksanaan menyeluruh yang tidak membenarkan sesiapa pun tertinggal di belakang.

Simboliknya, tanpa disedari pengumuman ini juga dibuat bertepatan dengan tarikh pemergian allahyarham Salahuddin Ayub, pejuang rakyat yang ikhlas dan berjiwa rahmah. Al-Fatihah.

Komitmen yang menjiwai denyut nadi rakyat

Inisiatif Sara RM100 kepada warga dewasa 18 tahun ke atas merupakan satu bentuk suntikan langsung ke dalam ekonomi rakyat. Bukan hanya sebagai bantuan jangka pendek, ia juga:

- Pemangkin kepada aktiviti ekonomi mikro dan peruncitan tempatan

- Galakan perbelanjaan isi rumah, khususnya dalam pembelian makanan, barangan asas, dan keperluan peribadi

- Peningkatan aliran tunai di sektor perniagaan kecil, penjaja dan pasar komuniti

- Langkah ini membuktikan bahawa kerajaan Madani bukan sekadar membantu, tetapi mempercepat pemulihan ekonomi rakyat dari bawah ke atas.

- Rakyat dibantu, penjaga dibela, ekonomi disemarakkan!

Kepimpinan dengan nilai, bukan retorik

Perdana menteri tidak sekadar memperkenalkan dasar. Beliau menjiwai kesusahan rakyat, dan memimpin dengan nilai rahmah, adil, kasih sayang dan tanggungjawab sosial.

Setiap sen yang diperuntukkan, setiap dasar yang dilaksana, adalah janji yang ditunaikan, amanah yang dilaksanakan, dan rahmah yang dikongsi.

Hari ini, sekali lagi rakyat Malaysia bersyukur dan berterima kasih atas kepimpinan yang prihatin dan progresif. Jualan Rahmah Madani dan Sara RM100 bukan hanya bantuan bahkan ia adalah simbol harapan dan keadilan sosial dalam kerangka ekonomi Madani.


ZULKIFLI MOHAMMED ialah  ketua pegawai eksekutif Yayasan Rahmah Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS