Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Kami akan membela kematianmu, wahai Zara Qairina

Kami, Pejuang Wilayah Persekutuan, menyeru agar satu siasatan yang telus, menyeluruh dan bebas dari campur tangan mana-mana pihak dilaksanakan segera berhubung kematian tragis seorang anak remaja, Zara Qairina binti Mahathir.

Kami menuntut agar tiada sebarang bukti disorok, pelaku dilindungi, atau saksi diabaikan. Mana-mana individu yang tampil untuk memberi keterangan dalam kes ini perlu dilindungi sepenuhnya daripada sebarang bentuk ugutan, ancaman, tekanan, atau intimidasi daripada pihak-pihak berkepentingan. Kebenaran harus muncul tanpa sebarang ketakutan, dan keadilan harus dilaksanakan tanpa pilih kasih.

Zara Qairina bukan sekadar seorang anak tunggal kepada ibunya, bahkan beliau kini menjadi anak kepada kita semua. Pemergiannya menyentuh hati rakyat Malaysia yang melihatnya sebagai simbol kepada perjuangan menuntut hak dan keadilan. Hari ini, ribuan rakyat telah bangkit dan bersatu. Menjadi ibu, ayah, kakak, abang dan adik kepada arwah Zara, dalam semangat solidariti yang tidak akan luntur.

Kami tidak akan berdiam diri. Selagi keadilan belum ditegakkan, kami akan terus bersuara. Kami akan terus mendesak. Ini bukan sekadar tentang Zara, tetapi tentang tanggungjawab kita sebagai masyarakat untuk memastikan insiden seperti ini tidak berulang lagi.

Langit Sabah telah menjadi saksi pada malam hitam itu, menyimpan sejuta rasa, emosi dan cerita yang belum terungkai. Jangan sampai jeritan bumi di bawah bayu ini menjadi satu sumpahan akibat kelalaian kita sendiri. Kita tidak mahu melihat lebih ramai anak-anak seumpama Zara menjadi mangsa kepada budaya diam dan cuai.

Pejuang Wilayah Persekutuan juga sangat berdukacita dengan permasalahan masyarakat hari ini yang melibatkan isu seperti buli, penganiayaan emosi dan fizikal yang semakin dianggap normal atau remeh oleh sesetengah pihak.

Buli harus ditangani dengan tegas, tanpa kompromi, tidak kira di mana ia berlaku, sama ada di rumah, sekolah, tempat kerja, di atas jalan raya, di dunia maya atau di mana-mana ruang kehidupan sekalipun. Kita tidak boleh membiarkan budaya toksik ini terus merebak dan menghakis nilai kemanusiaan dalam masyarakat kita.

Kami turut menyeru agar penilaian semula terhadap undang-undang berkaitan buli di Malaysia dilaksanakan segera. Undang-undang sedia ada perlu diperkuat dan diperluas supaya ia benar-benar mampu membela mangsa dan menghukum pelaku. Langkah ini penting untuk membentuk masyarakat yang lebih penyayang, aman dan berkualiti mewujudkan sebuah Malaysia yang benar-benar selamat untuk semua.

Kami tegaskan bahawasanya kami akan membela kematianmu, wahai Zara Qairina. Keadilan akan terus kami tuntut. Kebenaran akan kami perjuangkan. Dan suara rakyat tidak akan didiamkan.


NOOR ZARINA NORDIN adalah anggota Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan Parti Pejuang Tanah Air.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS