Malaysia sebuah negara demokrasi. Rakyat bebas memilih kerajaan untuk memerintah negara tercinta ini. Dan rakyat telah menggunakan kebebasan tersebut dengan memilih Barisan Nasional (BN) dalam setiap pilihanraya umum.

Namun selepas 50 tahun merdeka, rakyat juga telah meningkat maju, selaras dengan kemajuan dunia yang tanpa sempadan. Setiap perkembangan dunia diikuti dengan pantas melalui kemajuan teknologi terkini. Maklumat diakses di hujung jari dalam pelbagai lamanweb yang diolah dalam pelbagai perspektif yang menarik.

Pandangan serta ulasan isu-isu terkini banyak membantu mematangkan pemikiran rakyat. Pendedahan kepada demokrasi di serata pelusuk dunia telah memberikan banyak pengajaran berguna kepada rakyat. Rakyat lebih memahami peranan mereka dalam pembangunan negara dan ummah. Rakyat lebih memahami kepentingan menggunakan hak-hak mereka dalam memilih pemerintah melalui amalan demokrasi melalui sistem pilihanraya yang adil bagi semua pihak.

Bilamana rakyat bangun melalui gabungan Bersih untuk menyampaikan memorandum kepada Yang di-Petuan Agong pada 10 November 2007, ianya sesuai serta selaras dengan hak-hak rakyat yang termaktub dalam perlembagaan. Rakyat hanya bangun bila mula menyedari hak-hak mereka untuk memilih pemerintah Malaysia, dinafikan melalui sistem pilihanraya sedia ada yang tidak adil dan sering dimanipulasi.

Rakyat mula bimbang mengenai kepincangan sistem pilihanraya sedia ada bilamana melihat kelemahan ketara pemerintahan kerajaan pimpinan perdana menteri sekarang. Penularan gejala rasuah yang hebat dalam hampir semua institusi kerajaan telah mengakibatkan kerugian yang besar.

Negara berdepan dengan isu keruntuhan institusi kehakiman bilamana kepercayaan kepada kewibaan hakim diragui. Begitu juga dengan institusi polis dengan pelakuan rasuah di peringkat tertinggi dan peningkatan kadar jenayah.

Institusi Pendidikan juga mengalami penurunan ketara dari segi kualiti dengan dasar-dasar yang menyekat daya kreaviti pelajar dan pendidik. Perkembangan ekonomi tidak serancak negara terdekat, bahkan telah diatasi oleh negara jiran yang satu masa dahulu jauh ketinggalan.

Kesungguhan rakyat untuk bersuara dan berinteraksi dengan institusi diraja bagaimanapun ditentang oleh kerajaan BN dengan begitu hebat. Adalah sukar memahami alasan yang diberikan oleh perdana menteri untuk memaksa pihak polis tidak mengeluarkan permit serta memastikan perhimpunan ini dihalang, ketika beliau sendiri menyeru rakyat supaya berkata benar walaupun pahit.

Makin sukar bila perdana menteri mengucapkan sesuatu ungkapan gagah yang tidak pernah terbayang akan terkeluar dari mulutnya yang terkenal bersopan santun, "Saya pantang dicabar..."

Apapun yang jelas apa yang disuarakan oleh rakyat melalui Bersih begitu menakutkan kerajaan BN. Apa yang diperlukan oleh rakyat hanyalah satu mekanisme pilihanraya yang benar-benar adil dalam pilihanraya akan datang. Rakyat hanya ingin memastikan mereka dapat melaksanakan hak sebenar rakyat untuk memilih. Itulah intipati luahan memorandum rakyat kepada institusi raja yang merupakan penaung sekelian rakyat jelata.

Perdana menteri kini terpaksa menerima hakikat bahawa kerajaan BN pimpinannya kini dicabar dengan kesungguhan berpuluh ribu rakyat yang berkumpul dan berarak berbatu-batu jauhnya dalam hujan lebat dan pancutan air-kimia pasukan unit simpanan persekutuan (FRU), di bawah suasana tekanan dan amaran polis di mana-mana, dan akhirnya berjaya menyampaikan memorandum di pintu istana.

Adakah menepati Islam Hadhari dengan menidakkan pembaharuan yang terkandung dalam memorandum rakyat ini? Jelas rakyat telah menyahut seruan perdana menteri supaya berkata benar dan mereka telah bersungguh-sungguh mengatakan kebenaran dalam perhimpunan 10 November lalu.

Tidak difahami pengorbanan rakyat yang berbilang kaum - yang lumpuh datang disorong, yang cacat datang bertongkat, yang buta sama berpimpin ini - seperti langsung tidak dipedulikan oleh sebarang media massa utama yang dikuasai pemerintah, seolah olah perdana menteri juga tidak peduli.