SURAT | Parti Bersatu kini berada dalam fasa mencabar untuk mengekalkan relevansinya pada pandangan rakyat.
Beberapa kelemahan dalaman telah menyebabkan parti itu boleh dikatakan terperangkap dan gagal meraih sokongan masyarakat secara konsisten.
Sebagai Ketua Cawangan Bersatu, saya berpandangan bahawa punca utama permasalahan parti ini ialah kegagalan ia untuk benar-benar berperanan sebagai pembela rakyat.
Ketika pelbagai isu seperti tekanan kos sara hidup, kebajikan ekonomi, pendidikan dan kesihatan terus membelenggu rakyat, Bersatu terus kelihatan lemah dalam menyuarakan pendirian yang jelas dan tegas.
Ahli-ahli parlimen PN sudah berusaha keras memperjuangkan isu rakyat di parlimen. Namun, usaha mereka seakan-akan tidak mendapat dukungan sewajarnya daripada parti.
Untuk menjadi pembangkang yang berkesan, sepatutnya wujud kerjasama erat antara parti dan ahli parlimen.
Malangnya, hari ini wakil-wakil rakyat pembangkang dilihat bergerak sendiri tanpa sokongan padu daripada parti.
Ini menunjukkan betapa pentingnya Bersatu dipimpin oleh seorang tokoh yang mampu menyatukan parti dan jentera parlimen dalam hala tuju yang sama.
Justeru, Bersatu perlu melaksanakan segera transformasi total dalam mendepani cabaran politik yang semakin kompleks. Dengan pilihan raya umum dijangka berlangsung dalam tempoh dua tahun akan datang, sekarang adalah masa paling tepat untuk Bersatu melakukan perubahan menyeluruh.
Antara langkah utama yang perlu disegerakan ialah:
1. Rombakan struktur kepimpinan
2. Penyusunan semula barisan kepimpinan parti, dan
3. Pengukuhan jentera parti di semua peringkat.
Yang paling penting dilakukan Bersatu ketika ini ialah, proses transisi kuasa kepada timbalan presiden, Hamzah Zainudin, perlu dipercepatkan.
Kedudukan Hamzah sebagai ketua pembangkang memberi kelebihan strategik kepadanya untuk menyelaras pimpinan antara parti dan peranan di parlimen.
Melalui satu kepimpinan yang tersusun barulah strategi yang ampuh dapat dibentuk bersama bagi menghadapi PRU yang akan datang.
Seperti kata Thomas Jefferson, pengasas negara AS: "One man with courage is a majority."
Bersatu memerlukan sosok pemimpin yang tegas, berani dan kental untuk mengangkat suara rakyat ketika parti sedang berdepan ketidaktentuan.
Pada masa sama PN juga memerlukan seorang pemimpin yang mampu menyatukan semua pihak merentasi ideologi politik bagi mendepani kerajaan.
Jangan biarkan Bersatu terus hanyut tanpa arah. Masa depan parti ini adalah tiang seri kepada kekuatan PN dan juga harapan baru buat rakyat Malaysia.
Saya menyeru kepada seluruh ahli dan akar umbi Bersatu untuk berfikir secara terbuka. Tepuk dada, tanya selera. Adakah kita ingin terus berada di takuk lama, atau berani memilih perubahan demi masa depan parti dan negara?
AHMAD AZARUL ialah ketua Bersatu Cawangan Padang Jawa.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
