Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Khairy mengukur gergasi dengan pembaris kecil

SURAT | Nampaknya Khairy Jamaluddin sekali lagi cuba mempamerkan "kebijaksanaan" politiknya di media sosial dengan kritikan yang kononnya pedas terhadap pembangkang.

Dia menggunakan istilah 'stupid and incompetent' dalam kritikan tersebut.

Namun, jika peluru Khairy ditala khusus ke arah PAS, dia sebenarnya telah melakukan satu kesilapan besar dalam analisis kerana mengukur sebuah gergasi yang berpaksikan prinsip dengan pembaris kecil seorang politikus.

Jika Khairy mengukur keberkesanan "in-waiting government" (baca: PAS) hanya dengan skala parti politik konvensional yang kemaruk publisiti, maka dia telah gagal total.

PAS bukan sebuah entiti yang lahir daripada hasutan jalanan didorong rasa tidak puas hati individu atau kumpulan tertentu yang perlu melatah setiap kali ada isu semata-mata untuk kekal relevan.

Menganggap keengganan PAS untuk "menyalak" mengikut rentak media sebagai satu tanda tidak kompeten adalah satu penghinaan kepada jutaan ahli dan penyokong di peringkat akar umbi yang bergerak atas keyakinan, bukan atas dasar rating audio siar.

Mungkin juga serangan melulu itu hanyalah sebuah gimik murahan Khairy untuk membuka gelanggang perhatian sempena kembalinya dia ke pangkuan Umno. Adakah dengan membelasah pembangkang, Khairy berharap karpet merah akan dibentangkan buatnya?

Jika itu tujuan Khairy, maka analisisnya terhadap PAS bukan sahaja terpesong, malah kelihatan seperti sebuah percubaan terdesak untuk menempatkan diri semula dalam arus perdana politik negara.

Apa yang pasti, PAS tidak akan sesekali meloncat dan menari mengikut paluan gendang yang dipalu oleh Khairy. PAS mempunyai garis masa dan strategi yang tuntas, padu, dan tidak terikat dengan cita rasa populariti sementara.

Biarlah Khairy terus dengan ulasan-ulasan berlapik bahasa Inggerisnya yang gah di telinga tetapi kosong di jiwa marhaen.

PAS pula tetap akan bergerak atas prinsip yang tidak akan goyah hanya kerana ulasan audio siar seorang ahli politik yang masih tercari-cari tapak untuk dipijak semula.

Jangan sombong mendidik sang nakhoda jika anda sendiri masih terumbang-ambing mencari pelabuhan.


MOHD AZWAN ZAINUDIN merupakan pemegang ijazah sumber manusia dan pascaijazah pentadbiran perniagaan, serta menjadi aktivis kemasyarakatan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS