Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

SURAT | Kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, yang membangkitkan idea Muafakat Nasional 2.0 jelas menunjukkan parti itu semakin sedar bahawa mereka berdepan laluan sukar untuk menawan Johor dan membentuk kerajaan persekutuan melalui formula politik sedia ada.

Jika benar PAS dan PN begitu kuat seperti yang sering mereka dakwa, mengapa perlu kembali mencari bentuk kerjasama baru?

Mengapa perlu mengkaji semula hubungan sesama rakan gabungan?

Hakikatnya, kenyataan tersebut memberi gambaran bahawa keyakinan PAS terhadap kekuatan sendiri semakin terhakis.

Rakyat dapat melihat bahawa hubungan PAS dengan Bersatu bukanlah sekuat yang digambarkan selama ini. Di satu pihak, PAS mahu dilihat sebagai parti dominan. Di pihak yang lain, Bersatu masih mahu mengekalkan pengaruh dan kedudukan dalam gabungan.

Pertembungan kepentingan sebegitulah yang akhirnya menyebabkan pelbagai kenyataan bercanggah mula muncul secara terbuka.

Di Johor khususnya, PAS masih gagal membuktikan bahawa mereka mampu menjadi alternatif yang meyakinkan rakyat.

Pilihan raya negeri yang lalu telah memberikan isyarat yang jelas bahawa politik retorik, sentimen dan kemarahan semata-mata tidak cukup untuk memenangkan hati pengundi.

Rakyat hari ini mahukan kestabilan dan penyelesaian. Mereka mahu melihat siapa yang mampu mentadbir, membawa pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjaga kebajikan rakyat. Mereka tidak lagi teruja dengan politik yang sentiasa mencari musuh baru atau formula gabungan baru setiap kali berdepan masalah dalaman.

Jika PAS benar-benar yakin dengan kekuatan sendiri, buktikan kepada rakyat melalui dasar, prestasi dan pentadbiran. Bukan dengan terus mencari talian hayat politik melalui kerjasama baru setiap kali pilihan raya menghampiri.


DANIAL AL RASHID HARON AMINAR RASHID ialah Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS