mk-logo
Surat
SURAT | Tegas pada undang-undang, rahmah pada manusia

Kalau ada seorang rakyat Malaysia melakukan jenayah di luar negara, adakah kita mahu seluruh rakyat Malaysia dilabel sebagai penjenayah?

Sudah tentu tidak.

Sebab itu saya percaya bahawa dalam isu Rohingya, kita perlu bercakap berasaskan keadilan, fakta dan kemanusiaan, bukannya dipandu oleh kemarahan atau kebencian.

Sebagai ahli Parti Amanah, lebih-lebih lagi isu penempatan haram yang nak dirobohkan itu berada di dalam kawasan parlimen Parti Amanah (Hulu Langat), saya melihat isu ini melalui lensa Islam Rahmah Sekalian Alam yang menjadi asas perjuangan Amanah.

Islam mengajar kita supaya mempertahankan kebenaran dan keadilan tanpa mengira bangsa, agama atau kewarganegaraan. Dalam masa yang sama, Islam juga mengajar bahawa keselamatan masyarakat dan kedaulatan negara mesti dipelihara.

Kerana itu, pendirian saya jelas.

Jika ada individu Rohingya yang melakukan jenayah, menceroboh tanah, mengganggu ketenteraman awam atau melanggar undang-undang negara, tindakan tegas mesti diambil.

Tiada sesiapa boleh berada di atas undang-undang Malaysia.

Namun, kita juga tidak boleh menghukum keseluruhan komuniti Rohingya atas kesalahan segelintir individu. Ramai dalam kalangan mereka adalah mangsa peperangan, penindasan dan kehilangan kewarganegaraan di tanah air sendiri.

Dalam beberapa insiden kebelakangan ini, rumah-rumah yang dibina secara haram di atas tanah milik orang lain telah dirobohkan. Saya memahami kemarahan pemilik tanah dan rakyat Malaysia yang mahukan undang-undang yang lebih tegas.

Tetapi selepas rumah-rumah itu dirobohkan, kita perlu bertanya satu soalan yang lebih besar:

Apakah pelan penyelesaian kita selepas itu?

Adakah wanita, kanak-kanak dan warga emas yang kehilangan tempat tinggal akan dibiarkan tanpa perlindungan?

Sebagai sebuah parti Islam yang membawa gagasan Rahmah, Amanah tidak boleh sekadar menyokong penguatkuasaan. Kita juga mesti menawarkan penyelesaian.

Saya mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan beberapa langkah:

1. Penguatkuasaan diteruskan terhadap pencerobohan tanah dan penempatan haram.

2. Setiap operasi pemindahan dilaksanakan secara tersusun dengan notis dan tempoh yang munasabah.

3. Pendaftaran dan pemetaan semula komuniti pelarian bagi memastikan mereka berada dalam rekod serta pemantauan pihak berkuasa.

4. Penempatan sementara yang lebih terurus dengan kerjasama NGO dan badan antarabangsa bagi mengelakkan krisis kemanusiaan.

5. Aktivisi sukarela dalam memberi skim pendidikan dan latihan peluang kerja tenaga buruh bagi pelarian.

Namun yang lebih penting ialah exit plan yang jelas.

Malaysia tidak boleh menanggung isu ini secara bersendirian dan selama-lamanya.

Oleh itu kerajaan perlu memperhebat usaha penempatan semula pelarian ke negara ketiga yang bersedia menerima mereka selain meningkatkan tekanan diplomatik terhadap Myanmar supaya hak dan keselamatan masyarakat Rohingya dipulihkan.

Inilah yang saya percaya sebagai pendekatan Amanah.

Bukan politik yang menunggang kebencian.

Bukan juga pendekatan yang terlalu longgar sehingga mengabaikan keselamatan rakyat.

Tetapi politik yang berteraskan keadilan, rahmah dan penyelesaian.

Kita faham bahawa masyarakat yang kuat bukan dibina atas kebencian kepada golongan lemah, tetapi atas keberanian mempertahankan kebenaran sambil mengekalkan nilai kemanusiaan.

Kerana pada akhirnya, yang bersalah mesti dihukum, hak rakyat mesti dipertahankan, yang teraniaya mesti dibela, dan maruah insan mesti dihormati.

Itulah semangat Islam Rahmah Sekalian Alam yang diperjuangkan oleh Parti AMANAH.


NASH NAHAR ialah Exco Pemuda Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS