Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) yang berlangsung pada 14 Jun di Nilai Springs Resort Hotel, Negeri Sembilan, telah membincangkan perkembangan semasa landskap politik negara, persiapan menghadapi pilihan raya serta hala tuju parti di peringkat nasional dan antarabangsa.
MIPP telah membincangkan secara mendalam senario politik semasa negara, termasuk pelbagai bentuk penglibatan dan perbincangan yang telah diadakan dengan beberapa parti politik sejak kebelakangan ini.
Perbincangan tersebut berlaku dalam suasana ketidaktentuan politik yang memerlukan semua pihak menilai pelbagai pilihan demi menjamin kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.
Mengambil kira perkembangan politik semasa dan pelbagai dinamika yang sedang berlaku, Jawatankuasa Pusat MIPP telah membuat ketetapan bahawa sebarang keputusan berkaitan hala tuju politik parti akan ditentukan selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
Jawatankuasa Pusat MIPP telah memberikan mandat penuh kepada Presiden MIPP P Punithan untuk meneruskan sebarang bentuk perbincangan dan libat urus serta hala tuju politik yang difikirkan sesuai demi kepentingan parti serta masyarakat India.

Mesyuarat turut membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan. MIPP telah mengenal pasti empat kerusi di Johor dan tiga di Negeri Sembilan untuk ditandingi dan kesemua calon yang bakal diketengahkan merupakan pemimpin muda masyarakat India yang berwibawa serta berpotensi membawa suara generasi baru.
Jentera pilihan raya MIPP di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka juga telah digerakkan sepenuhnya dan kini giat menjalankan pelbagai program mendekati rakyat di peringkat akar umbi.
MIPP percaya bahawa kestabilan politik, perpaduan rakyat serta pembangunan ekonomi negara hendaklah sentiasa menjadi keutamaan semua pihak. Parti akan terus memainkan peranan secara konstruktif dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat India dan rakyat Malaysia pada amnya.
MIPP akan terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah parti yang berpandangan global melalui penubuhan Jawatankuasa MIPP Antarabangsa.
Pada masa ini, rangkaian kepimpinan dan penyokong MIPP telah bertapak di lebih daripada 60 bandar di 20 negara seluruh dunia, sekali gus membuktikan penerimaan dan sokongan yang semakin berkembang terhadap perjuangan parti di peringkat antarabangsa. Jawatankuasa ini akan menyelaras penglibatan diaspora Malaysia serta memperkukuhkan jaringan strategik MIPP di peringkat global.
MIPP akan terus memperkukuhkan organisasi parti di seluruh negara dan memberi fokus kepada usaha memperkasakan penyertaan golongan muda dalam proses politik serta pembangunan negara.
SATHES KUMAR NILAMEHAM ialah Setiausaha Agung MIPP
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
