Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

Buku Jalanan Chow Kit (BJCK) menzahirkan rasa dukacita dan kebimbangan yang mendalam susulan insiden tikaman yang berlaku di sebuah sekolah baru-baru ini. Kami merakamkan simpati kepada mangsa, ahli keluarga serta seluruh warga sekolah yang terkesan oleh tragedi ini.

Dalam mendepani insiden seperti ini, BJCK berpandangan bahawa masyarakat perlu mengelakkan tindak balas yang bersifat reaktif atau hanya tertumpu kepada mencari pihak yang harus dipersalahkan. Sebaliknya, setiap insiden keganasan yang melibatkan kanak-kanak harus dilihat sebagai satu petunjuk bahawa sistem perlindungan dan safeguarding kanak-kanak masih mempunyai ruang yang perlu diperkukuh.

Kanak-kanak tidak seharusnya hanya dilindungi selepas sesuatu tragedi berlaku. Mereka berhak membesar dalam sebuah sistem yang mampu mengenal pasti risiko lebih awal, mencegah kemudaratan, menyediakan intervensi yang bersesuaian serta memastikan setiap sekolah menjadi ruang yang benar-benar selamat dari sudut fizikal, emosi dan psikososial.

BJCK mengiktiraf pelbagai usaha yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), termasuk inisiatif berkaitan Sekolah Selamat, pengukuhan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling serta pelbagai garis panduan pengurusan murid.

Namun demikian, tragedi seperti ini mengingatkan kita bahawa kekuatan sesuatu dasar bukan hanya terletak pada kewujudannya, tetapi pada pelaksanaannya yang konsisten, menyeluruh dan berkesan di setiap sekolah.

Sehubungan itu, BJCK menggesa agar Dasar Sekolah Selamat diperkukuh dan dilaksanakan secara lebih menyeluruh di semua institusi pendidikan melalui pendekatan whole-school safeguarding, yang menjadikan perlindungan kanak-kanak sebagai tanggungjawab seluruh warga sekolah, bukan hanya guru disiplin atau guru kaunseling.

Bagi memperkukuh ekosistem perlindungan kanak-kanak di sekolah, BJCK mencadangkan beberapa langkah dasar:

  • 1. Memastikan setiap sekolah mempunyai Dasar Perlindungan Kanak-Kanak (Child Protection Policy) yang komprehensif dan dilaksanakan secara konsisten dengan prosedur yang jelas bagi pencegahan, pelaporan, pengurusan risiko dan intervensi.

  • 2. Menetapkan seorang pegawai atau pasukan yang bertanggungjawab terhadap perlindungan dan keselamatan di setiap sekolah sebagai focal person bagi menyelaras isu perlindungan kanak-kanak, pengurusan aduan dan tindakan susulan.

  • 3. Memperkukuh latihan berkala kepada semua warga sekolah termasuk pentadbir, guru dan kakitangan sokongan berkaitan perlindungan kanak-kanak, pengesanan awal faktor risiko, trauma-informed practice serta pengurusan konflik.

  • 4. Menambah baik mekanisme aduan yang benar-benar mesra kanak-kanak, selamat, sulit dan mudah diakses supaya setiap murid berasa yakin untuk mendapatkan bantuan tanpa rasa takut atau stigma.

  • 5. Melaksanakan penilaian risiko serta audit berkala terhadap pelaksanaan Dasar Sekolah Selamat dengan memberi penekanan bukan sahaja kepada keselamatan fizikal tetapi juga kesejahteraan psikososial, budaya sekolah dan keberkesanan sistem perlindungan.

  • 6. Memperkukuh sistem sokongan kesihatan mental dan intervensi awal melalui kerjasama yang lebih erat antara sekolah, ibu bapa, kaunselor, profesional kesihatan mental, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta agensi berkaitan.

Gambar hiasan.

Sebagai sebuah negara yang komited kepada prinsip-prinsip Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak (UNCRC), Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk memastikan setiap kanak-kanak dilindungi daripada segala bentuk keganasan, kecuaian dan eksploitasi.

Hak untuk hidup, berkembang dan membesar dalam persekitaran yang selamat bukan sekadar aspirasi, tetapi merupakan hak asasi setiap kanak-kanak.

BJCK percaya bahawa tragedi seperti ini harus menjadi titik perubahan kepada pembaharuan sistem yang lebih menyeluruh.

Apa yang diperlukan bukanlah dasar yang bersifat sementara atau tindak balas bermusim, tetapi komitmen yang berterusan untuk membina budaya perlindungan dan safeguarding dalam setiap institusi pendidikan.

Akhirnya, ukuran sebenar sebuah sistem pendidikan bukan sekadar kecemerlangan akademik tetapi sejauh mana ia mampu memastikan setiap kanak-kanak berasa selamat, dihormati, didengari dan dilindungi.

Kanak-kanak memerlukan lebih daripada pendidikan yang berkualiti.

Mereka memerlukan penjagaan, perlindungan dan safeguarding yang menjadi asas kepada perkembangan mereka sebagai insan.

BUKU JALANAN CHOW KIT (BJCK) sebuah NGO pendidikan komuniti yang menyediakan ruang pembelajaran untuk kanak-kanak terpinggir di Kuala Lumpur.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS