Barang yang telah hilang, seringlah tampak lebih indah berbanding tatkala masih dalam genggaman.
Ungkapan bernada klasik ini bukan sekadar puitis. Bukan barang itu yang berubah sebenarnya, tapi ingatan kita. Ia gugurkan yang cacat dan simpan yang manis sahaja.
Rindu adalah alasan paling senang untuk sesiapa yang mahu pimpin orang lain. Cukup dakwa mereka merindui sesuatu, lepas tu tawarkan diri sebagai jalan pulang.
Hampir tiga tahun PAS duduk semeja dalam kerajaan persekutuan, zaman Muhyiddin Yassin disambung era Ismail Sabri Yaakob, ada kerusi menteri, akses jentera pentadbiran, ruang bersuara dalam dewan sebagai sebahagian daripada kerajaan, bukan pembangkang.

Selepas itu PAS di luar meja. Menurut anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Nur Jazlan Mohamed, itu satu kehilangan yang PAS belum terima sepenuhnya. Tapi soalan yang lebih besar bukan bila PAS kembali tetapi siapa yang patut pimpin perpaduan Melayu.
Apa Nur Jazlan kata
Dalam Episod 76 The Tiger Show Podcast, "PRN Johor: BN menang Besar, Melayu bangkit, Madani terancam?", dihoskan Amin Iskandar, Nur Jazlan bentangkan hipotesis yang cukup berani.
"Saya rasa PAS pun, selepas dapat duduk semeja dalam kerajaan selama dua tahun, bawah Tan Sri Muhyiddin dulu, yang disambung dengan Datuk Seri Ismail Sabri, dia rindu nak kembali semula duduk di meja kabinet tu," katanya.
Momentum PN selepas 2022 pun dah tak sama, tambahnya, "nampak macam PN mempunyai satu force yang kuat yang boleh mengambil alih kerajaan pada pilihan raya yang akan datang.
“Tapi wave tu tak bersama mereka pada kali ini, kerana dia pun mungkin pecah dalaman," katanya, merujuk pada jurang PAS-Bersatu yang semakin jelas.
Di situlah, katanya, Umno nampak ruang.
"Nampaknya Datuk Seri Zahid dah letakkan Umno semula ke tapak yang terbaik, iaitu dengan mempelopori konsep Rumah Bangsa, yang bertujuan untuk menyatukan semua orang Melayu bawah kepimpinan Umno.
“Kalau mereka nak kembali semula duduk dalam kerajaan, dia kena ikut Umno."
"Kita pimpin mereka. Bukannya mereka pimpin kita."
Perpaduan perlu pemimpin, bukan sekadar rakan
Rumah Bangsa bukan istilah baru pun. Zahid dah guna gagasan ini sejak awal tahun untuk ajak parti serpihan Umno pulang. Logiknya cukup mudah: undi Melayu dah berpecah tiga sejak 2018, antara Umno, PAS dan Bersatu.
Setiap kali ia berpecah begitu, PH untung di kerusi-kerusi campuran. Perpaduan tanpa hierarki pun sebenarnya cuma pakatan biasa, senang pecah semula bila kepentingan mula berbeza.
Rumah Bangsa ini asalnya bukan untuk PAS. Ia gagasan untuk parti serpihan Umno–orang yang pernah dalam Umno sebelum keluar bentuk Bersatu dan lain-lain, macam anak yang pernah dibesarkan dalam sebuah rumah, tapi lupa asal-usul bila dah cari jalan sendiri.
SYAFIQ SUNNY adalah ketua penerangan PKR Wilayah Persekutuan. Bagaimanapun tulisan di atas dikongsi atas kapasiti peribadi sebagai pengamat politik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
